WEI Chong-Kai Wun berjaya mengetepikan pasangan tuan rumah untuk rangkul saingan Antarabangsa India. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
WEI Chong-Kai Wun berjaya mengetepikan pasangan tuan rumah untuk rangkul saingan Antarabangsa India. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad badminton negara yang beraksi Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India memberi perkhabaran gembira apabila berjaya merangkul kejuaraan menerusi acara beregu lelaki dan wanita.

Malaysia yang diwakili Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam acara beregu lelaki berjaya menyerap tekanan untuk menewaskan wakil tuan rumah, Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala 21-18-21-15.

Wei Chong-Kai Wun yang diletakkan pilihan kelapan hanya memerlukan 33 minit untuk menewaskan pasangan tuan rumah yang juga pilihan keenam kejohanan.

Kejayaan Wei Chong-Kai Wun menyaksikan mereka berjaya menambah koleksi kejuaraan selepas menang di Cabaran Antarabangsa Sepanyol tahun lalu.

Dalam aksi beregu wanita Anna Ching-Teoh Mei Xing yang diletakkan sebagai pilihan kelapan beraksi cemerlang apabila hanya memerlukan 32 minit untuk menumpaskan satu lagi beregu India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela 21-12, 21-13.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan mereka berjaya melunaskan dendam terhadap Treesa-Gayatri selepas tewas pada perlawanan akhir Cabaran Antarabangsa Wales tahun lalu.

Ia adalah gelaran juara kedua buat beregu muda negara selepas berjaya mengungguli Terbuka Czech Oktober tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 9:25 PM