Aaron Chia (kanan) bersama Soh Wooi Yik ketika beraksi menentang beregu England, Marcuss Ellis dan Chris Langridge aksi Terbuka Malaysia. FOTO Syarafiq Abd Samad.
Aaron Chia (kanan) bersama Soh Wooi Yik ketika beraksi menentang beregu England, Marcuss Ellis dan Chris Langridge aksi Terbuka Malaysia. FOTO Syarafiq Abd Samad.
Ferzalfie Fauzi


MENYEDARI lawan mula memberi tumpuan kepada mereka, pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan mengambil pendekatan berhati-hati berdepan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi di pusingan kedua Terbuka Malaysia esok.

Menurut Aaron, mereka memang tidak pernah berdepan dengan Hoki-Kobayshi sebelum ini namun hari ini mereka berkesempatan untuk melihat aksi pasangan Jepun itu di Arena Axiata.

"Memang mereka beraksi sangat baik hari ini dan kita akan balik berbincang dengan jurulatih serta melihat semula video aksi mereka," katanya selepas menang perlawanan pusingan pertama ke atas pasangan England, Marcus Ellis-Chris Langridge 21-14, 21-19.

Aaron juga mengakui ramai rakan senegara yang melepasi pusingan pertama bagi saingan beregu lelaki bermakna mereka kurang tekanan.

"Ramai pasangan senegara di pusingan kedua tidak bererti kami tidak tertekan. Tekanan itu datang dari diri sendiri dan yang penting permainan kita menjadi," katanya.

Sementara itu, satu lagi pasangan beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut mara ke pusingan kedua, selepas berjaya mengalahkan wakil Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-17, 21-19.

Menanti Yew Sin-Ee Yi di pusingan kedua ialah pilihan ketujuh dari China, Han Chengkai-Zhou Haodong yang sebelum itu mengalahkan Manu Attri-B Sumeeth Reddy (India) 21-16, 21-6.

Bagaimanapun, perjuangan perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berakhir hari ini apabila dia tumpas kepada pemain Thailand, Suppanyu Avihingsanon 21-17, 19-21, 21-15.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 9:56 PM