PEARLY dan Thinaah bersama pingat emas dimenangi mereka. FOTO Aswadi Alias
PEARLY dan Thinaah bersama pingat emas dimenangi mereka. FOTO Aswadi Alias
Amirullah Andi Nur


Birmingham: Beregu badminton wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah kini adalah juara Sukan Komanwel 2022, namun mereka tidak mahu leka dibuai dengan kejayaan itu.

Selepas mengalami prestasi turun naik sejak memenangi Terbuka Switzerland sebelum ini, mereka mahu pingat kejuaraan itu sebagai penyuntk semangat untuk terus bangkit.

"Kejayaan ini satu pencapaian membanggakan. Ia sudah pasti akan membantu meningkatkan keyakinan untuk menghadapi kejohanan seterusnya.

"Justeru, kami perlu terus fokus dan tidak boleh leka lagi," katanya selepas memenangi pingat emas acara beregu wanita bersama Pearly di National Exhibition Center (NEC) di sini, malam tadi.

Pada aksi terakhir final sukan badminton itu, mereka menewaskan wakil England, Chloe Birch-Lauren Smith 21-5, 21-8.

Ia emas ketujuh buat kontinjen negara pada Sukan Komanwel 2022 dan kedua buat gandingan berkenaan selepas turut memenangi acara berpasukan campuran.

Kejayaan itu sekali gus berjaya menyamai pencapaian pada temasya di Gold Coast pada 2018. Malaysia sebelum ini mensasarkan enam emas pada temasya di sini.

Dalam pada itu, Pearly berkata masih ada ruang untuk mereka perbaiki selepas ini dalam usaha merangkul lebih banyak gelaran. Pada masa sama, dia turut merakamkan penghargaan kepada keluarganya, persatuan, jurulatih, rakan sepasukan dan peminat yang sentiasa memberi sokongan kepada mereka sehingga bergelar juara Sukan Komanwel 2022.

"Ya, saya sangat gembira dan bangga dapat membolehkan lagu Negaraku berkumandang buat kali kedua di sini," katanya. Pearly-Thinaah pilihan pertama pada kejohanan ini dan antara menjadi sandaran untuk meraih emas buat kontinjen negara selain beregu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Pada temasya kali ini, badminton menyumbang dua emas selain satu perak menerusi perseorangan lelaki, Ng Tze Yong dan dua gangsa masing-masing melalui Aaron-Wooi Yik dan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 7:13 AM