IZZUDDIN-SZE FEI terkandas di separuh akhir. -FOTO Aswadi Alias
IZZUDDIN-SZE FEI terkandas di separuh akhir. -FOTO Aswadi Alias
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei tidak mahu mengenangkan kisah duka tumpas di separuh akhir Terbuka Malaysia apabila mahu mempersiapkan diri mengharungi kejohanan Masters Malaysia yang akan membuka tirai Selasa ini.

Izzuddin berkata, detik tewas di separuh akhir Terbuka Malaysia di tangan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto semalam, harus 'dilupakan' dan peluang untuk mereka terus menyinar masih ada di Axiata Arena.

"Untuk itu, kami tak nak terlalu memikirkan terlalu jauh. Masih ada beberapa hari untuk memperbaiki kelemahan yang ada namun kami perlu berbincang terlebih dulu dengan jurulatih," katanya.

Semalam, Izzuddin-Sze Fei tewas 14-21, 12-21 di tangan beregu nombor tujuh dunia itu dalam tempoh 37 minit.

Kekalahan itu adalah yang ketiga berturut-turut buat Izzuddin- Sze Fei selepas tewas ketika saingan final Terbuka Switzerland, Mac lalu dan pusingan pertama Terbuka Indonesia baru-baru ini sekali gus menyaksikan Fajar-Rian menguasai tujuh pertemuan terkini dengan enam kemenangan.

"Mungkin sebab kami terlalu memikirkan kelebihan lawan daripada kelebihan kami sendiri," kata Izzuddin mengulas mengenai kekalahan keenam daripada tujuh pertemuan dengan Fajar-Rian itu.

Sementara itu, Sze Fei berkata, mereka sudah cuba yang terbaik untuk menggembirakan penyokong di laman sendiri namun hasrat itu tidak kesampaian.

"Kami sudah cuba yang terbaik, tapi ini bukan permainan kami dan kami perlu memikirkan ke hadapan dan perlu berusaha lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 1:56 PM