TZE Yong terkandas di suku akhir Terbuka Korea, hari ini. FOTO BADMINTON PHOTO
TZE Yong terkandas di suku akhir Terbuka Korea, hari ini. FOTO BADMINTON PHOTO
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Hasrat untuk menyaksikan Ng Tze Yong meneruskan kemaraan di Terbuka Korea tidak kesampaian selepas pemain perseorangan lelaki negara itu kandas di suku akhir, hari ini.

Tze Yong yang menduduki ranking ke-23 dunia memberi tentangan sengit sebelum tewas 20-22, 19-21 di tangan bekas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew pada perlawanan di Stadium Jinnam, Yeosu itu.

Diletakkan selaku pilihan keempat, Kean Yew nyata lebih tenang di saat genting, sekali gus menewaskan Tze Yong buat kali kedua sepanjang dua pertemuan antara mereka.

Semalam, Tze Yong mencetuskan sensasi apabila menewaskan pemain Hong Kong, Ng Ka Long di pusingan kedua, sekali gus membalas dendam kekalahan rakan senegara, Lee Zii Jia di tangan lawan yang menduduki ranking ke-14 dunia itu pada pusingan pertama.

Sementara itu, beregu negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei turut menerima nasib sama seperti Tze Yong selepas tumpas di tangan pasangan ranking pertama dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 9-21, 21-23.

Izzudin-Sze Fei berpeluang untuk mengheret perlawanan ke set penentuan selepas pada satu ketika mendahului 16-10 di set kedua, namun mereka kembali hilang fokus dan akhirnya tewas.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, sekiranya anak buahnya itu mengekalkan aksi konsisten, beliau percaya perlawanan itu mampu diheret sehingga ke set penentuan.

"Set pertama mereka terlalu mahu melawan. Kemudian keduanya, mereka tak dapat bertahan dengan baik dan mulai hilang keyakinan.

"Set kedua mereka sudah main dengan betul apabila dapat memberi tekanan kepada Fajar-Rian. Tapi ketika mendahului 16-10, mereka mula menukar rentak perlawanan dan ia membolehkan lawan mengejar.

"Amat sayang, kalau mereka lebih bersabar, saya rasa mereka dapat mengheret perlawanan ke set penentuan," katanya.

Isnin lalu, gandingan ke-46 dunia itu merangkul kejuaraan sulung tahun ini dengan memenangi Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 3:44 PM