PEMAIN perseorangan negara, Lee Zii Jia sebelum tewas kepada pemain China, Zhao Jun Peng di pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, semalam. FOTO EPA
PEMAIN perseorangan negara, Lee Zii Jia sebelum tewas kepada pemain China, Zhao Jun Peng di pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, semalam. FOTO EPA
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Kekalahan pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia pada pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, semalam mengundang pelbagai reaksi daripada penggemar sukan tempatan.

Apa tidaknya, dia yang sebelum ini mengambil keputusan menarik diri daripada beraksi di Sukan Komanwel Birmingham 2022 dengan alasan mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada Kejohanan Badminton Dunia, dilihat tidak berjaya membuahkan hasil.

Jika dilihat, hantaran di laman sosial Facebook milik Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berhubung kekalahan Zii Jia itu dipenuhi dengan pelbagai pandangan serta luahan rasa kecewa daripada peminat dan sehingga kini ia menerima lebih daripada 2000 komentar.

"LZJ (Lee Zii Jia) sudah terlepas pingat emas di Sukan Komanwel dan sekarang tersingkir di Kejohanan Dunia pula. Dia sepatutnya main saja di Sukan Komanwel sebelum ini," kata salah seorang pengguna Facebook.

"Tarik diri daripada Sukan Komanwel hanya untuk memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia ini, tetapi hanya boleh sampai peringkat 16 terakhir saja. Sangat membazir," kata seorang lagi pengguna.

"Seperti dijangka. Apabila dia beritahu mahu fokus kepada Kejohanan Dunia, sebenarnya ada masalah dengan sikapnya itu. Dia akan terus macam ini jika tidak berubah. Dia perlukan pasukan dan rakan yang bagus untuk latihan," kata salah seorang pengguna.

Bagaimanapun, tidak kurang juga ada yang terus menyokong dan memberi kata-kata semangat buatnya selain mengharapkan pemain berusia 24 tahun itu mampu bangkit pada kejohanan akan datang.

"Kami semua kecewa dan begitu juga dengan Zii Jia. Saya harap kekalahan kali ini dapat difikirkan dengan serius oleh Zii Jia dan jurulatihnya. Semoga bangkit dengan lebih kuat dalam kejohanan seterusnya dan saya pasti dia akan," kata pengguna.

"Dia sudah cuba sedaya upaya tapi rezeki tidak berpihak kepadanya. Masih ada masa untuk perbaiki. Semoga suatu hari nanti kemenangan juara dunia akan tiba buat Malaysia," kata seorang lagi pengguna.

Semalam, Zii Jia tersingkir selepas tewas kepada pemain China yang berada di ranking ke-23 dunia, Zhao Jun Peng, 19-21, 21-11, 19-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 11:03 AM