AARON-WOI YIK tewas di separuh akhir Terbuka Thailand. -FOTO Ihsan Badminton Photo
AARON-WOI YIK tewas di separuh akhir Terbuka Thailand. -FOTO Ihsan Badminton Photo
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasangan beregu utama negara Aaron Chia-Soh Woi Yik mengakui banyak kesilapan mudah dilakukan mereka menyebabkan lawannya mudah memperoleh mata seterusnya memenangi perlawanan pada saingan separuh akhir Terbuka Thailand di Impact Arena, Bangkok, Thailand, semalam.

Pada pertembungan malam tadi, harapan beregu utama negara itu untuk menamatkan kemarau gelaran di pentas antarabangsa sekali lagi musnah apabila kecundang di tangan pasangan dari Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Jelas sekali kesilapan mudah dilakukan pasangan negara yang berada di ranking keenam dunia itu memberi kelebihan kepada lawan memungut mata sekali gus mengakhiri perlawanan dengan 19-21,14-21.

Aaron berkata, perkara terbabit harus diperbaiki segera bagi memastikan mereka mampu menamatkan kemarau gelaran di pentas antarabangsa pada perlawanan antarabangsa kelak.

Katanya, walaupun dia bersama pasangannya Woi Yik terus kempunan meraih gelaran untuk musim ini namun tidak mahu segera mengangkat 'bendera putih' kerana percaya kejayaan pasti akan tiba buat mereka.

"Corak permainan yang ditampilkan pasangan Indonesia itu lebih kurang sama dengan kita namun mereka lebih konsisten dan kurang melakukan kesilapan," katanya.

Situasi sama turut diakui, Woi Yik yang melihat kemenangan set pertama pasangan Indonesia itu memberi kelebihan kepada mereka untuk tampil lebih meyakinkan pada perlawanan kedua.

"Kami berusaha keras untuk memastikan kemenangan di set kedua namun mereka dilihat agresif untuk pastikan kemenangan berpihak kepada Indonesia.

"Pada perlawanan seterusnya akan perbaiki corak permainan dengan memastikan kurang melakukan kesilapan mudah yang akhirnya menghukum kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 12:55 PM