AARON (kiri) dan Wooi Yik masih kemarau kejuaraan. FOTO Aswadi Alias
AARON (kiri) dan Wooi Yik masih kemarau kejuaraan. FOTO Aswadi Alias
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Corak permainan ditampilkan pasangan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlukan perubahan memandangkan kebanyakkan lawan mereka sudah dapat membaca sekali gus memerangkap mereka hingga gagal meraih sebarang gelaran pada musim ini.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, berdasarkan kepada pertembungan sebelum ini menyaksikan pasangan terbabit mudah diperangkap lawan seterusnya memberi kelebihan kepada mereka untuk memungut mata.

Beliau berkata, malah kesilapan mudah dilakukan oleh beregu yang berada di ranking keenam dunia itu juga memberi kelebihan kepada lawan untuk mengatasi mereka.

"Berdasarkan pemerhatian, saya melihat beregu lawan sudah boleh mengetahui corak permainan Aaron dan Wooi Yik sekali gus mudah untuk mengatasi mereka.

"Melihat kepada situasi berkenaan, banyak perkara perlu diperbaiki segera dan mungkin akan ada perubahan pada corak permainan mereka selepas ini.

"Apa yang boleh saya katakan, kekalahan tempoh hari (Terbuka Thailand) bukanlah disebabkan mereka penat selepas mengharungi perlawanan Piala Thomas cuma kesilapan dilakukan hingga lawan mengambil kesilapan untuk memungut mata," katanya.

Pada pertembungan separuh akhir Terbuka Thailand baru-baru ini menyaksikan harapan beregu utama negara itu untuk menamatkan kemarau gelaran di pentas antarabangsa sekali lagi musnah apabila kecundang ditangan pasangan dari Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Jelas sekali kesilapan mudah dilakukan pasangan negara ia itu memberi kelebihan kepada lawan memungut mata sekali gus mengakhiri perlawanan dengan kekalahan 19-21,14-21.

Aaron-Wooi Yik masih berpeluang menamatkan kemarau gelaran pada musim ini apabila mereka akan bersaing dalam Masters Indonesia dari 7 hingga 12 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 3:33 PM