CHIA Wejie (kanan) antara 12 pemain skuad badminton negara yang disenaraikan bagi menghadapi Piala Thomas di Bangkok. FOTO ihsan FB BAM.
CHIA Wejie (kanan) antara 12 pemain skuad badminton negara yang disenaraikan bagi menghadapi Piala Thomas di Bangkok. FOTO ihsan FB BAM.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bukan sekadar memenuhi kuota, itu yang diakui beregu lelaki muda negara, Chia Wejie selepas namanya tersenarai dalam skuad ke Piala Thomas di Bangkok, bulan depan.

Menurut pemain berusia 22 tahun itu, jika diturunkan dalam mana-mana perlawanan, dia mahu membalas kepercayaan barisan jurulatih dengan menampilkan prestasi terbaiknya.

"Ia bagai impian menjadi kenyataan apabila nama saya tersenarai buat kali pertama bagi menghadapi kejohanan berpasukan berprestij itu," kata pemain yang meraih kejuaraan Terbuka Ukraine, Januari lalu bersama gandingan, Low Hang Yee.

Wejie mengakui terkejut apabila melihat pengumuman dibuat BAM (Persatuan Badminton Malaysia) yang menyenaraikannya dalam skuad Piala Thomas.

"Saya berterima kasih kepada barisan jurulatih dan BAM yang mempercayai kemampuan dan memberi peluang kepada saya beraksi dalam kejohanan utama.

"Sudah pasti saya akan memberikan yang terbaik bagi membalas kepercayaan mereka," katanya.

Semalam, BAM dalam satu kenyataan mengumumkan 12 pemain akan menggalas tanggungjawab bagi menghadapi saingan Piala Thomas di Bangkok, Thailand bermula 8 hingga 15 Mei ini, dengan penyenaraian Weijie paling mencuri tumpuan.

Penyenaraian Weijie sesuatu yang mengejutkan selepas namanya tidak berada dalam senarai 13 pemain dipanggil bagi kem latihan pusat, bermula sejak Jumaat lalu.

Keputusan itu menyaksikan tujuh pemain beregu dipilih bagi membawa cabaran di Bangkok termasuk tiga pasangan utama iaitu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei.

Bagi acara perseorangan pula, BAM menyenaraikan lima pemain iaitu Lee Zii Jia, Liew Daren, Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Leong Jun Hao.

Dua pemain perseorangan lelaki, Ong Ken Yon dan Shaqeem Eiman Shahyar yang disenaraikan bagi menjalani latihan pusat sebelum ini digugurkan daripada skuad.

Dalam pada itu, ditanya sama ada dia sudah bersedia untuk bergandingan dengan mana-mana pemain beregu lain yang turut tersenarai selepas gandingannya, Hang Yee tidak dipilih, Weijie, berkata: "Saya tidak boleh ulas panjang mengenai perkara ini, tetapi sebarang keputusan dibuat jurulatih atau mereka perlukan khidmat saya, saya akan buat yang terbaik," katanya.

Tahun lalu, Weijie turut mengiringi skuad negara dalam saingan Piala Thomas di Aarhus, Denmark namun hanya berperanan sebagai rakan sepelatih.

Di Bangkok, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan New Zealand.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 6:08 PM