TEOH Mei Xing (kanan) dan Anna Cheong pada sesi latihan. FOTO ARKIB NSTP
TEOH Mei Xing (kanan) dan Anna Cheong pada sesi latihan. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain beregu wanita negara, Teoh Mei Xing yakin skuad Piala Uber yang diumumkan semalam, mampu mencatat keputusan lebih baik berbanding tahun lalu di Aarhus, Denmark.

Mei Xing berkata, keputusan membariskan pemain sudah dilakukan jurulatih dan sekarang giliran pemain pula untuk memberikan aksi terbaik di Piala Uber nanti.

"Saya berpuas hati dengan pemain dalam skuad kali ini. Tidak kira siapa pun, paling penting ialah dapatkan mata untuk bersaing dengan negara lain," kata Mei Xing yang bergandingan bersama Anna Cheong.

Sebagai pemain paling senior, Mei Xing, 25, bersedia membantu pemain muda bagi mendapat nasihat dan berkongsi pengalaman beraksi di kejohanan berprestij itu bagi kategori wanita.

"Saya boleh membantu pemain muda terutama yang kali pertama beraksi di kejohanan ini. Mereka boleh datang meminta pertolongan dari saya, jika boleh tolong saya sedia membantu mereka.

"Peluang menentang Denmark 50-50. Thailand agar sukar sedikit. Tapi inilah kesempatan untuk membalas dendam ketika Piala Uber tahun lalu.

"Kita sudah lama berlatih, banyak berjaya dipertingkatkan. Ini pasukan baru, saingan bakal ditempuhi juga baru. Jadi kami akan cuba memberikan yang terbaik," katanya.

Pada edisi kali ini, skuad Piala Uber negara diundi bersama Thailand, Denmark dan Mesir dalam Kumpulan C.

Tahun lalu skuad wanita negara berada di tempat tercorot Kumpulan D selepas kalah 1-4 kepada Denmark, dibelasah China 0-5 dan paling memalukan tunduk mengejut 1-4 di tangan Kanada.

Selain Mei Xing dan Anna, pemain lain ialah S Kisona, Goh Jin Wei, Eoon Qi Xuan, Pearly Tan, M Thinaah bersama tujuh muka baharu yang akan membuat penampilan pertama iaitu Myisha Mohd Khairul, Tan Zhing Yik, Low Yeen Yuan, Valeree Siow dan pemain berusia 17 tahun, Chan Wen Tse.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 5:56 PM