BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei. FOTO Sairien Nafis
BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei. FOTO Sairien Nafis
Fabian Peter


KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei mempamerkan aksi bertenaga untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Korea di Seoul, hari ini.

Pemenang Kejuaraan Antarabangsa Malaysia itu, bagaimanapun menempuh halangan sukar di pusingan pertama, tatkala mereka perlu bangkit daripada ketinggalan untuk menjinakkan wakil Taiwan, Chang Ko Chi-Cheng Chi Ya 17-21, 21-14, 21-17.

Tang Jie-Yen Wei yang kini menghuni ranking ke-36 dunia, bakal berdepan laluan lebih getir di pusingan seterusnya apabila dijadualkan bertemu pilihan kedua, Mathias Christiansen-Christinna Pedersen dari Denmark.

Sementara itu, nasib buruk menimpa perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin apabila gagal melepasi pusingan kelayakan.

Iskandar yang mencatat kemenangan 21-15, 10-21, 21-16 ke atas pemain Korea Selatan, Ha Young Woong pada pusingan kelayakan pertama, gagal mengekalkan momentum apabila kecundang 22-20, 21-17 di tangan pemain China, Zhou Zeqi pada perlawanan kedua.

Nasib sama dialami beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang ditunjukkan jalan keluar oleh pencabar dari Taiwan, Chang Ko Chi-Lu Chia Pin, 18-21, 21-11, 21-18

Pusingan pertama bagi saingan perseorangan lelaki, beregu lelaki, perseorangan wanita dan beregu wanita akan bermula esok.

Antara wakil Malaysia yang akan turun ke gelanggang esok adalah beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Mohd Arif Abdul Latif-Nur Azriyn Ayub, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen, manakala Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen (beregu wanita) dan Liew Daren serta Chong Wei Feng (perseorangan lelaki).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 10:12 PM