AKSI Siti Nurshuhaini yang paling diingati adalah ketika pertemuan dengan Jepun di peringkat kumpulan apabila dia menjadi watak kepada kebangkitan skuad negara. FOTO ASWADI ALIAS
AKSI Siti Nurshuhaini yang paling diingati adalah ketika pertemuan dengan Jepun di peringkat kumpulan apabila dia menjadi watak kepada kebangkitan skuad negara. FOTO ASWADI ALIAS
Saiful Affendy Sapran


Shah Alam: Peluang yang diberikan untuk beraksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) kali ini cukup dihargai pemain perseorangan muda negara, Siti Nurshuhaini Azman.

Jelas pemain menduduki ranking ke-311 dunia itu yang mendapat pujian Pengarah Kejurulatihan (Perseorangan) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, pengalaman diraih sepanjang beraksi di BATC dapat membentuknya menjadi seorang pemain terbaik.

"Banyak pengalaman yang saya dapat daripada kejohanan ini dan ia memberi pengajaran kepada saya untuk pergi lebih jauh.

"Memang kadang-kadang ada rasa kecewa kerana tak dapat sumbang mata untuk skuad negara tetapi apapun saya tetap bangga dapat mewakili Malaysia," katanya.

Aksi Siti yang paling diingati adalah ketika pertemuan dengan Jepun di peringkat kumpulan apabila dia menjadi watak kepada kebangkitan skuad negara yang di ambang kekalahan selepas ketinggalan 0-2.

Bagaimanapun dia yang diturunkan selaku perseorangan kedua, tenang mengawal tekanan ketika bertemu Akechi Hina untuk melakar kemenangan 21-16, 22-20 dan skuad negara terus memungut dua mata selepas itu untuk menumpaskan Jepun 3-2.

Siti diturunkan lagi ketika bertemu India tetapi dia tewas kepada Ashmita Chaliha 11-21, 19-21.

Pada aksi separuh akhir bertemu Korea Selatan semalam dia turut mempamer aksi meyakinkan tetapi terpaksa akur tewas kepada Lee Se Yeon 11-21, 21-15, 13-21.

"Memang ada rasa tertekan sedikit sebab skuad negara sudah ketinggalan 0-2," katanya mengulas perlawanan semalam bertemu Korea Selatan yang menyaksikan skuad negara tewas 0-3 sekali gus gagal ke pentas final.

Mengenai perancangannya selepas ini, Siti masih tidak mengetahui kejohanan yang bakal disertainya dan menyerahkan segala-galanya kepada BAM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 6:45 PM