ZII Jia meninggalkan BAM. FOTO Hazreen Mohamad
ZII Jia meninggalkan BAM. FOTO Hazreen Mohamad
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Dua pemain negara, Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei, yang 'digantung' daripada beraksi selama dua tahun oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), terus mendapat sokongan pemain dunia yang menganggap hukuman itu tidak wajar ketika mereka memilih haluan sendiri untuk meneruskan karier.

Bekas juara dunia, Camilla Martin dari Denmark menggesa Persekutuan Badminton Dunia (BWF) campur tangan dalam isu itu ketika lebih 30 pemain dari seluruh dunia termasuk dari Eropah, Amerika Selatan, Oceania dan Asia turut memberikan sokongan.

"Kepada @bwf.official ini bukan caranya kita melayan salah seorang pemain terbaik dunia, betul kan? @leeziijia memilih satu cara lain untuk cuba menjadi pemain yang lebih baik dan ia tidak mungkin buatnya kerana dia memilih untuk melakukannya di luar persatuan?

"Badminton adalah sukan yang hebat, saya tahu kerana ia menjadi sebahagian daripada hidup saya sehingga saya bersara pada 2004. Tolong jangan biarkan ini berlaku, ia akan menjejaskan banyak perkara.

"Kepada semua pemain, bangkit bersuara, berdiri bersama dalam hal ini jika tidak ia akan memusnahkan sukan yang kita sayangi ini dan anda tidak akan mempunyai pekerjaan," tulisnya dalam hantaran di laman Instagram.

Camilla, juara dunia 1999 dan pemenang pingat perak perseorangan wanita Sukan Olimpik Sydney 2000 kini bertugas sebagai pengulas sukan bersama saluran televisyen Denmark, TV2 Sport.

Selain Camilla, pemain Denmark terdiri daripada juara Olimpik, Viktor Axelsen, pemain nombor tiga dunia Anders Antonsen, Hans-Kristian Vittinghus, Kim Astrup, Anders Skaarup Rasmussen, Mathias Christiansen, Rasmus Gemke, Mads Kolding, Mai Surrow, Sara Thygesen dan Line Kjaersfeldt turut memberi sokongan kepada Zii Jia dan Jin Wei.

Sokongan juga diberikan tujuh pemain India, Chirag Shetty, Lakshya Sen, Ashwini Ponnappa, Sameer Verma, Dhruv Kapila, Sanjana Santosh dan Sikki Reddy, dua pemain Republik Czech, Katerina Tomalova dan Tomas Svejda, Gronya Somerville (Australia), Ygor Coelho (Brazil), Yang Po Han (Taiwan), Lauren Smith (England), Thet Htar Thuzar (Myanmar), Anastasiia Akchurina (Russia), Terry Hee (Singapura), Ruben Jille (Belanda), Aghaei Hajiagha Soraya (Iran), Lucas Claerbout (Perancis), Indira Dickhauser (Switzerland), Rickard Nilsson (Sweden), Yelyzaveta Zharka (Ukraine) dan Kim Chang Ho (Fiji).

Menariknya mereka turut menyatakan sokongan dengan menandatangani petisyen 'Jangan Gantung Lee Zii Jia & Goh Jin Wei" anjuran Malaysia Badminton Lovers di Twitter yang kini mendapat sokongan lebih 107,000 setakat jam 12 tengah hari.

Bagi pemain perseorangan wanita Myanmar, Htar Thuzar, dia memahami kesukaran dialami Zii Jia dan Jin Wei kerana dia sendiri bergerak secara profesional dan tidak mendapat sokongan daripada mana-mana pihak.

"Di mana keadilan? Saya sebagai pemain profesional tanpa sokongan dari negara dan persekutuan saya sendiri, saya faham bagaimana kesukaran dialami Zii Jia dan Jin Wei sekarang. Teruskan dan kami semua bersama anda @leeziijia dan @jinweigoh," luahnya dalam Twitter.

Pemain Republik Czech, Katerina yang beraksi dalam acara perseorangan dan beregu, berkata tindakan BAM terhadap dua pemain itu menunjukkan persatuan terlalu berkuasa ke atas pemain dan tiba masanya pemain berbincang dengan BWF mengenai perkara itu.

"Gila, sedih melihat pemain seperti @leeziijia dijadikan tebusan oleh persekutuan mereka... Apa yang sudah dilakukan oleh pemain ini? Mereka mahu berdikari, mengikut haluan dan impian mereka sendiri, berlatih sendiri. Jadi Persatuan Badminton Malaysia mengharamkan mereka daripada bermain badminton selama dua tahun. Mereka tidak boleh beraksi di mana-mana kejohanan antarabangsa kerana hanya persekutuan yang boleh menghantar penyertaan. Dan tiada apa yang pemain boleh lakukan mengenainya.

"Persekutuan sepatutnya tidak mempunyai kuasa yang begitu besar ke atas pemain. Saya rasa kita perlu secara serius memulakan perbincangan mengenai perkara ini dengan @bwf.official kerana ini bukan yang pertama (dan malangnya bukan kali terakhir) perkara seperti ini berlaku," katanya di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 1:30 PM