AHMAD Faizal (kiri) harap segala masalah terungkai agar Tahun Baru Cina dapat disambut meriah. FOTO Ihsan Facebook Ahmad Faizal Azumu
AHMAD Faizal (kiri) harap segala masalah terungkai agar Tahun Baru Cina dapat disambut meriah. FOTO Ihsan Facebook Ahmad Faizal Azumu
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkesempatan menemui jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia serta Goh Jin Wei di sebuah lokasi, hari ini.

Menerusi status terbarunya di media sosial, Ahmad Faizal berkongsi gambar pertemuannya dengan kedua-dua pemain itu yang mengambil keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Saya berpeluang untuk bertemu dengan Lee Zii Jia pada hari ini dan mendengar sendiri pandangan beliau, apa yang pasti semangat serta komitmen Zii Jia terhadap sukan badminton negara masih teguh.

"Selagi kita semua mempunyai matlamat yang sama apabila ia berkaitan dengan kepentingan negara, kita boleh bergerak ke hadapan bersama-sama," katanya.

Menerusi satu status lain, Ahmad Faizal berkata: "Bersembang santai dengan Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei. Semoga segala masalah terungkai agar Tahun Baru Cina dapat disambut meriah.

"Pada pertemuan itu, Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 ditemani kakaknya, Lee Zii Yi manakala Jin Wei hadir bersama Pengurus Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), Sairul Amar Ayob.

BAM pada Jumaat lalu memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa 18 Januari lalu susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional.

Badan induk itu turut mengenakan tindakan sama ke atas Jin Wei yang juga bekas juara remaja dunia perseorangan wanita dua kali, Goh Jin Wei berkuatkuasa 31 Oktober 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 8:57 PM