LIU Ying mahu cuti panjang dahulu. FOTO BAM
LIU Ying mahu cuti panjang dahulu. FOTO BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying masih lagi merahsiakan perancangan masa depan selepas memutuskan untuk berpisah dengan pasangannya, Chan Peng Soon.

Selepas Peng Soon memutuskan kembali bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam, Liu Ying mahu berehat seketika sebelum memutuskan perancangan seterusnya.

"Saya masih tidak pasti lagi apa akan dilakukan selepas ini. Tengok dulu keadaan macam mana. Sekarang ini apa yang dalam fikiran saya adalah saya nak cuti satu atau dua bulan dulu. Mungkin selepas itu saya dah dapat jawapan, saya akan maklumkan kepada semua," katanya.

Terdahulu, Liu Ying dalam hantaran penuh emosi di laman Instagramnya mengakui, badannya sudah tidak mampu untuk meneruskan cabaran pada Kejohanan Dunia, terutama selepas beraksi dalam enam kejohanan sejak Oktober lalu.

Sepanjang bersama, mereka pernah berada di kedudukan ranking nombor tiga dunia pada 2013.

Pencapaian terbaik Peng Soon, 33, dan Liu Ying, 32, adalah memenangi pingat perak beregu campuran dalam Sukan Olimpik Rio 2016. Mereka juga memenangi pingat emas Sukan Komanwel 2010 di New Delhi serta pelbagai kejuaraan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 10:59 PM