LIU Ying (kiri) dan  Peng Soon akan beraksi bersama bermula  Januari depan.
LIU Ying (kiri) dan Peng Soon akan beraksi bersama bermula Januari depan.
Helmi Talkah


PEMAIN beregu campuran negara, Goh Liu Ying teruja untuk kembali berpasangan bersama Chan Peng Soon bermula Januari depan sekali gus mengulangi kegemilangan yang pernah mereka kecapi sebelum ini.

Peng Soon-Liu Ying yang memenangi pingat perak Olimpik Rio 2016 terpaksa dipisahkan selepas Liu Ying menjalani pembedahan bahu, Mei lalu.

“Saya gembira dapat kembali bersama dengan Peng Soon. Saya perlu buat apa yang sepatutnya saya lakukan di atas gelanggang.

“Kalau boleh saya perlu mengurangkan risiko mengalami kecederaan. Dari aspek persefahaman, saya fikir tiada masalah kerana saya dengan Peng Soon sudah biasa. Saya mahu cuba pulih 100 peratus bagi kembali bersaing dalam kejohanan tahun depan,” kata Liu Ying.

Sepanjang ketiadaan Liu Ying, Peng Soon digandingkan bersama pemain beregu campuran muda negara, Cheah Yee See.

Kombinasi yang dibentuk Peng Soon-Yee See menunjukkan petanda positif apabila mereka menghasilkan beberapa keputusan cemerlang termasuk menjuarai Grand Prix Terbuka Russia selain layak ke separuh akhir Siri Super Premier Terbuka Denmark, bulan lalu.

Malah, mereka juga mara ke separuh akhir Terbuka Macau, awal bulan i ini sebelum tewas di pusingan awal Korea Masters minggu lalu.

Liu Ying pula memulakan aksi dengan pasangan baharu, Chen Tang Jie dan berjaya muncul juara pada saingan Siri Antarabangsa India, minggu lalu sebelum terkandas di separuh akhir Cabaran Antarabangsa India, semalam.

Dalam pada itu, Liu Ying memuji prestasi ditunjukkan Tang Jie sepanjang dua kejohanan yang disertai mereka.

“Sebenarnya dalam kejohanan Cabaran Antarabangsa India ini saya agak puas hati dengan prestasi Tang Jie. Cuma, kami gagal beraksi pada tahap terbaik dalam perlawanan separuh akhir semalam, banyak kesilapan mudah yang kami lakukan.

“Sejak Tang Jie menyertai BAM (Persatuan Badminton Malaysia) saya dapat lihat peningkatan yang ditunjukkannya, dia pemain yang sentiasa mahu belajar. Cuma, mungkin apabila dia bergandingan dengan saya, dia agak gementar sedikit,” kata Liu Ying.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 3:25 PM