PENG Soon (kanan) dan Liu Ying sudah 13 tahun bergandingan. FOTO Badminton Photo
PENG Soon (kanan) dan Liu Ying sudah 13 tahun bergandingan. FOTO Badminton Photo
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Selepas 13 tahun bersama sehingga mencetuskan kejutan apabila menghadiahkan pingat perak di Sukan Olimpik dalam acara beregu campuran, akhirnya pasangan beregu profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying memutuskan untuk berpisah.

Malah diakui keputusan itu bukan satu yang mudah namun selepas berfikir untuk satu tempoh, ia dianggap adalah yang terbaik buat kedua-dua belah pihak.

Jelajah Dunia Akhir di Bali minggu lalu adalah yang terakhir buat pasangan beregu campuran negara itu yang sudahpun memilih untuk tidak lagi bersama selepas ini.

Peng Soon ketika dihubungi memaklumkan beberapa hari lagi dia akan maklumkan mengenai hala tujunya dan perancangannya selepas ini.

"Ia satu keputusan yang sangat-sangat sukar kerana kami memang sudah lama bersama.

"Menang bersama, gagal bersama, berkembang bersama.

"Kami berdua mungkin tidak akan bersama lagi tapi mungkin akan teruskan perjuangan dalam badminton. Mungkin dalam beberapa hari lagi akan ada pengumuman baru mengenai hala tuju saya," katanya.

13 tahun yang cukup indah dalam perjuangan badminton, Peng Soon mengucapkan jutaan terima kasih kepada penyokong yang sentiasa memberikan sokongan yang berterusan dalam apa juga keadaan.

"Terima kasih semua yang menyokong kami mengharungi 13 tahun ini. Dari 2008 hingga 2021.

"Dari muda sampai sekarang, ramai sangat yang menyokong kami. Saya sangat hargai untuk itu semua.

"Akhir sekali, terima kasih Goh Liu Ying kerana begitu lama berjuang dengan saya, membantu saya dan menjadikan saya pemain badminton yang baik," katanya.

Pencapaian terbaik Peng Soon, 33, dan Liu Ying, 32, adalah memenangi pingat perak beregu campuran dalam Sukan Olimpik Rio 2016.

Mereka juga memenangi pingat emas Sukan Komanwel 2010 di New Delhi serta pelbagai kejuaraan antarabangsa.

Terdahulu, Liu Ying dalam hantaran penuh emosi mengakui, badannya sudah tidak mampu untuk meneruskan cabaran pada Kejohanan Dunia, terutama selepas beraksi dalam enam kejohanan sejak Oktober lalu.

Sepanjang bersama, mereka pernah berada di kedudukan ranking nombor tiga dunia pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 11:10 PM