ZII Jia mengakui agak terkejut apabila lawannya tidak mempamerkan aksi luar biasa atau memberi kejutan. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
ZII Jia mengakui agak terkejut apabila lawannya tidak mempamerkan aksi luar biasa atau memberi kejutan. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan badminton negara Lee Zii Jia ternyata mempamerkan permainan bersahaja pada perlawanan pertamanya apabila mudah menundukkan lawannya daripada Ukraine, Artem Pochtarov straight set 21-5 21-11.

Ternyata Pochtarov bukan lawan kepada juara Seluruh England 2021 apabila menyaksikan Zii Jia menguasai keseluruhan perlawanan dalam aksi di Musashino Forest Sport Plaza, sebentar tadi.

Aksi itu juga boleh dikatakan sebagai 'pemanas badan' kepada pemain berkenaan apabila boleh menggunakan segala kemahirannya dalam set pertama untuk menguji Pochtarov yang dilihat tidak memiliki banyak pengalaman di pentas antarabangsa.

Perlawanan itu boleh dikatakan milik Zii Jia sepenuhnya memandangkan lawannya yang berada di ranking ke-98 dunia tidak dapat melakukan apa-apa sebaliknya bermain tanpa strategi.

Malah, set kedua juga pemain perseorangan Ukraine itu gagal memberi tentangan sengit kepada Zii Jia sebelum akur menerusi keputusan 21-11.

Sementara itu, Zii Jia mengakui agak terkejut apabila lawannya tidak mempamerkan aksi luar biasa atau memberi kejutan seperti jangkaannya sebelum ini.

"Bagaimanapun saya agak terkejut kerana lawan tidak melakukan kejutan dan tidak begitu memberikan tentangan dalam perlawanan ini sebaliknya bermain seperti biasa," katanya.

Pemain itu yang diletakkan sebagai harapan meraih emas untuk negara akan berdepan pemain Perancis, Brice Leverdez dalam aksi kedua bagi memburu slot ke pusingan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 7:43 PM