ZII Jia enggan ambil mudah cabaran lawannya. FOTO NSTP
ZII Jia enggan ambil mudah cabaran lawannya. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jika hanya bergantung nasib kepada undian kumpulan, sampai bila pun tidak akan jadi pemain yang bagus.

Itu reaksi jaguh perseorangan badminton lelaki negara, Lee Zii Jia yang tidak mahu kategorikan setiap lawannya mudah atau sukar terutama membabitkan saingan Kumpulan M pada temasya Olimpik Tokyo.

Zii Jia berkata, dia tidak melihat akan berhadapan laluan mudah berikutan kehadiran pemain Perancis, Brice Leverdez menjadikan saingan kumpulan M bertambah sengit sekali gus menyaksikan dia sama sekali tidak boleh memandang rendah kemampuan pemain ke-36 dunia itu.

"Mungkin undian ini tampak sukar kerana ada Brice tetapi untuk menjadi juara dan pemain yang lebih baik, kita perlu bersedia untuk tewaskan siapa pun lawan kita.

"Brice adalah pemain yang bagus dan dia juga sangat berpengalaman. Jadi saya perlu perlu melihat banyak video perlawanan dan memastikan saya mengambil cabaran ini sebagai satu perkara yang serius.

"Kita tidak tahu apa yang akan terjadi di Olimpik kerana semua pemain pun pastinya bersedia sepenuhnya dan ada perbezaan pada pertandingan itu nanti," katanya.

Terdahulu, pemain berusia 23 tahun itu disifatkan tiada masalah untuk mengungguli saingan peringkat kumpulan Sukan Olimpik Tokyo apabila diundi bersama Brice dan Artem Pochtarov dari Ukraine.

Berdasarkan rekod pertemuan, Zii Jia yang menjadi sandaran negara meraih pingat di temasya berprestij itu, dia terikat 1-1 menentang Leverdez dengan pertemuan terakhir dimenangi Leverdez di Thailand Masters 2019.

Rekod pertemuan Zii Jia menentang Pochtarov juga terikat 1-1 dengan kali terakhir dia menentang pemain ranking ke-98 dunia itu, kedua-duanya pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 6:34 PM