LIU Ying dan Peng Soon meraih perak di Sukan Olimpik Rio.
LIU Ying dan Peng Soon meraih perak di Sukan Olimpik Rio.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pada penampilannya yang mungkin terakhir di Sukan Olimpik, Goh Liu Ying mahu bersikap lebih tenang selain tidak mahu menjadikan tekanan sebagai penghalangnya untuk cuba sekali lagi melakar sejarah di temasya sukan terbesar dunia itu.

Lima tahun lalu di Rio, tiada siapa menjangkakan gandingannya bersama Chan Peng Soon mampu menghadiahkan pingat perak untuk negara dan dia berharap dapat melalui perasaan yang sama di Tokyo.

"Saya tak pernah anggap semua cabaran sebagai tekanan tetapi ia adalah motivasi tambahan untuk saya di Olimpik nanti. Mungkin kali ini orang ramai jangkakan dan memperkatakan boleh menang emas tapi saya hanya fikirkan satu persatu setiap perlawanan terlebih dahulu. Saya tidak mahu memikirkan banyak perkara lain.

"Masa Olimpik terakhir, semua orang juga tak sangka kami boleh melangkah ke final dan ketika itu fikiran, mental dan fizikal saya berada dalam keadaan terbaik. Jadi saya akan menerapkan fokus yang sama di Tokyo.

"Kita semua tidak tahu apakah situasi sebenar di Tokyo nanti, jadi sekarang hanya perlu bersedia pada tahap terbaik," katanya merujuk kepada situasi Covid-19 pada Olimpik kali ini.

Selain misi memburu pingat, Olimpik kali ini juga sangat bermakna buat Liu Ying kerana bakal menjadi pembawa Jalur Gemilang bersama seorang lagi pemain badminton negara, Lee Zii Jia.

"Mungkin ini Olimpik terakhir, jadi apabila diumumkan sebagai pembawa Jalur Gemilang, ia perkara yang sangat bermakna kepada saya dan sudah pasti berasa sangat bangga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 10:03 PM