SHEVON (kiri) dan Soon Huat antara lima pemain senior yang disingkirkan BAM. FOTO NSTP
SHEVON (kiri) dan Soon Huat antara lima pemain senior yang disingkirkan BAM. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Mara ke separuh akhir kejohanan badminton Jelajah Dunia Akhir di Bangkok, Thailand tidak menjamin tempat buat beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai untuk terus kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

BAM dalam satu kenyataan rasmi mengumumkan untuk menyingkirkan Soon Huat, Shevon Lai, Lai Pei Jing (beregu campuran), Soniia Cheah (perseorangan wanita) dan Vivian Hoo (beregu wanita) yang mana mereka kini tidak lagi bernaung di bawah BAM.

Kesemua lima pemain itu kini bebas untuk meneruskan perjuangan sebagai pemain profesional atau sebaliknya.

Selain barisan pemain senior itu, BAM turut melepaskan Ter Chun Long, Low Eu Cong (perseorangan lelaki) dan Ching Kai Feng, Ooi Jhy Dar (beregu lelaki).

Keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian yang dilakukan terhadap semua pemain sepanjang tahun lalu dan bukannya prestasi sepanjang tiga kejohanan di Bangkok, Thailand.

BAM mengucapkan terima kasih kepada semua pemain terbabit di atas komitmen, dedikasi dan sumbangan besar mereka kepada negara selama ini dan semoga terus berjaya dalam karier baru mereka selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 12:47 PM