SOON HUAT dan Shevon mahu beraksi sebagai pemain profesional.
SOON HUAT dan Shevon mahu beraksi sebagai pemain profesional.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Keputusan sudah dilakukan dan ia perlu diterima. Namun perjalanan hingga ke peringkat ini bukan satu yang mudah.

Muncul juara beregu campuran Terbuka Jerman pada 2018 antara kejayaan paling manis untuk dikenang oleh Goh Soon Huat bersama pasangannya, Shevon Lai.

Namun kelmarin, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan khidmat mereka bersama badan induk itu tidak lagi diperlukan apabila digugurkan daripada skuad negara.

Soon Huat dalam entrinya di laman Instagram berharap, dia masih lagi mampu menabur bakti dengan bermain badminton secara profesional.

"Kami bertahan untuk tempoh waktu yang lama demi berada di pentas untuk menikmati gelaran juara. Gelaran itu menyebabkan kami terus berjuang. Semoga pada masa akan datang saya masih lagi boleh bermain badminton sebagai pemain profesional. Terus berjuang demi Malaysia," katanya.

Terdahulu BAM menegaskan keputusan yang dibuat iaitu menggugurkan lima pemain senior dalam badan induk itu bukanlah keputusan mudah, namun ia dibuat selepas dinilai dari segala aspek dengan terperinci.

Tindakan BAM itu nyata mengejutkan ramai pihak terutama menggugurkan beregu campuran yang kini menghuni ranking ke-10 dunia, Soon Huat-Shevon Lai terutama ketika mereka mara hingga ke separuh akhir kejohanan badminton Jelajah Dunia Akhir di Bangkok, Thailand. Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, Datuk Kenny Goh mengakui jasa yang diberikan oleh pasangan negara itu, namun ia perlu dibuat selepas mengambil kira objektif Projek 2024.

"Kami akui Soon Huat-Shevon banyak berjasa kepada negara dan BAM tapi mungkin ini adalah masa sesuai untuk bagi pendedahan kepada pemain muda untuk projek jangka masa panjang," kata Kenny.

Bagaimanapun kata Kenny, BAM akan memberi bantuan kepada Soon Huat-Shevon sekiranya mereka layak ke Sukan Olimpik Tokyo biarpun selepas ini akan bergerak secara profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 10:17 PM