SHEVON Lai (kanan) dan Soon Huat berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir Jelajah Dunia Akhir. FOTO BAM
SHEVON Lai (kanan) dan Soon Huat berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir Jelajah Dunia Akhir. FOTO BAM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tiga pasangan beregu campuran negara yang bersaing dalam kejohanan di Thailand baru-baru ini menunjukkan mereka ada potensi untuk beraksi cemerlang, namun jurulatih mereka berpandangan masih banyak perlu ditingkatkan.

Paulus Firman berkata anak buahnya gagal memanfaatkan pengalaman yang diraih semasa sesi latihan selain cepat menggelabah.

Katanya pasangan beregu negara berkenaan menerima pengajaran berharga semasa bersaing pada kejohanan Terbuka Thailand Yonex, Terbuka Thailand Toyota dan Jelajah Dunia Akhir BWF yang berlangsung di Impact Arena, Bangkok.

Katanya antara kelemahan yang perlu dibaiki ialah kecenderungan melakukan kesilapan mudah yang menyebabkan mereka kehilangan mata, selain permainan tidak konsisten serta kekuatan tidak setara dengan lawan.

"Dari sudut teknikal, kualiti pertahanan serta gaya permainan harus ditambah baik kerana lawan kita dapat membaca strategi permainan kita," katanya yang dipetik oleh satu hantaran menerusi Facebook Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pasangan Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing mencatatkan prestasi paling teruk apabila tersingkir seawal pusingan pembukaan pada Terbuka Thailand Yonex dan Terbuka Thailand Toyota.

Manakala beregu Hoo Pang Ron dan Cheah Yee See mempamerkan prestasi yang agak membanggakan apabila layak ke separuh akhir Terbuka Thailand Toyota selepas terkandas di pusingan awal Terbuka Thailand Yonex.

Kedua-dua beregu itu bagaimanapun tidak dapat mara ke kejohanan penutup musim Jelajah Dunia Akhir BWF 2020 selepas gagal menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik dalam 'Road to Bangkok Rankings'.

Satu lagi pasangan beregu negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai terkandas di pusingan kedua pada kedua-dua kejohanan terbuka itu, namun layak ke Jelajah Dunia Akhir yang menyaksikan mereka tersingkir pada peringkat separuh akhir yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 2:18 PM