Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. FOTO File NSTP
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. FOTO File NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Walaupun hampir kesemua pemain Malaysia yang beraksi di peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Yonex Terbuka Thailand di Impact Arena di Bangkok semalam tewas, namun mereka masih berpuas hati dengan prestasi masing-masing.

Pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia menyatakan, kekalahan 17-21, 15-21, kepada pemain nombor dua dunia dari Taiwan Chou Tien Chen, memberikan pengalaman terbaik untuknya memperbaiki permainannya bagi Toyota Terbuka Thailand, yang akan berlangsung dari 19-24 Januari di tempat yang sama.

"Bagi saya tiada sebarang tekanan, kerana saya hanya mahu bermain dengan baik dalam setiap perlawanan dan berusaha untuk setiap mata, itulah sasaran saya," katanya dalam temu ramah video oleh penganjur selepas perlawanan itu.

"Masih banyak pembaikan yang perlu dilakukan kerana saya masih muda dan kurang pengalaman, dan banyak lagi perkara yang perlu dipelajari (untuk perbaiki prestasi)," tambah Zii Jia.

Sementara itu, pasangan profesional beregu lelaki, Teo Ee Yi dan Ong Tew Sin menegaskan yang mereka berpuas hati dengan prestasi mereka kerana layak ke peringkat suku akhir, selepas lama tidak beraksi berikutan pembatalan beberapa kejohanan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akibat Covid-19.

Pasangan bukan pilihan dalam kejohanan itu tewas 21-23, 15-21 kepada pasangan nombor tujuh dunia, Lee Yang dan Wang Chi-Lin dari Taiwan.

"Keputusan itu agak bagus kerana kami berikan tentangan yang cukup bagus kepada mereka, namun kami masih perlu untuk perbaiki diri dan tidak hanya gembira dengan apa yang kami capai dan perlu bersedia lebih lagi untuk kejohanan seterusnya," kata Teo.

Sementara itu, pasangan profesional beregu lelaki negara Goh V Shem dan Tan Wee Kiong menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang masih berada dalam kejohanan itu.

Pasangan bukan pilihan kejohanan itu hanya mengambil masa 40 minit untuk mengalahkan pasangan senegara Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Mohd Rumsani, 21-16, 21-19 pada aksi suku akhir.

V Shem dan Wee Kiong, pemenang pingat perak Olimpik Rio, akan bertemu pasangan muda dari Indonesia Leo Rolly Carnando dan Daniel Marthin, pada peringkat separuh akhir hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 1:38 PM