AIDIL menyumbangkan mata pertama untuk Selangor
AIDIL menyumbangkan mata pertama untuk Selangor
Helmi Talkah


SEPERTI diramal, Selangor dan Pulau Pinang akan membuat perhitungan pada aksi final kategori lelaki Liga Remaja Kebangsaan AirAsia-BAM (ABNJL), esok.

Selangor tidak berdepan masalah untuk mengetepikan cabaran Johor 3-0, manakala Pulau Pinang yang juga pilihan utama kejohanan menewaskan Kuala Lumpur 3-0 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Juara Bukit Kiara, hari ini.

Pengurus pasukan Selangor, Kamarudin Ahmad, berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya dan antara penyebab utama mengapa mereka berhak untuk beraksi di perlawanan akhir esok adalah kerana memiliki kekuatan seimbang dalam perseorangan dan beregu lelaki.

“Saya sudah memberi pesanan kepada pemain, esok perlawanan akhir menentang Pulau Pinang berikan aksi terbaik. Kami juga akan menyusun strategi dengan sebaik mungkin untuk aksi esok.

“Kita akan menyusun pemain mengikut kekuatan dan kelemahan pasukan lawan. Dalam masa yang sama memang kita tidak jangka Selangor akan mara dengan mudah tetapi sasaran kita memang untuk layak ke perlawanan akhir,” kata Kamarudin.

Dalam aksi separuh akhir hari ini, Selangor yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan meraih mata pertama menerusi perseorangan lelaki pertama, Aidil Sholeh Ali Sadikin yang menewaskan Wee Yee Liang 21-9, 21-9 sebelum beregu lelaki, Mohd Nor Firdaus Azman-Wong Zheng Wei menghadiahkan mata kedua dengan mengetepikan cabaran Tew Cheng Jie-Yap Shai Kuan 21-15, 21-15.

Pemain perseorangan kedua, Muhammad Shaqeem Eiman Syahyar mengesahkan kemenangan buat Selangor apabila menang 21-7, 21-17 ke atas Low Yi Sheng.

Sementara itu, mata pertama Pulau Pinang disumbangkan menerusi perseorangan pertama, Low Eu Cong yang menewaskan Marcus Low 21-12, 21-12, manakala mata kedua disumbang gandingan Choong Hon Jian-Lee Ming Ze apabila melakar kemenangan ke atas Leong Jun Kai-Tan Kok Xian 21-15, 21-17.

Perseorangan kedua Pulau Pinang, Goi Zi Chyan tidak berdepan masalah untuk menewaskan Chan Jun Han 21-6, 21-18 untuk membawa pilihan utama itu ke pentas final.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 9:06 PM