MESSI dan Ronaldo akan menyambung kembali permusuhan mereka dalam saingan Liga Juara-Juara. FOTO Agensi
MESSI dan Ronaldo akan menyambung kembali permusuhan mereka dalam saingan Liga Juara-Juara. FOTO Agensi
Agensi:

London: Lionel Messi berharap Cristiano Ronaldo dapat beraksi ketika Juventus menentang Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara kerana menganggap pertembungan mereka berdua sangat istimewa.

Ronaldo belum pasti beraksi selepas didapati positif koronavirus pada 13 Oktober lalu dan menjalani proses kuarantin.

Bintang Portugal itu terlepas dua aksi Juventus menentang Crotone dan Dynamo Kiev tetapi masih berpeluang berdepan Barcelona pada Rabu depan.

Tetapi ujian kedua dilakukan Ronaldo mendapati dia masih mempunyai virus sekaligus belum pasti beraksi dalam pertembungan getir itu.

Juventus dijangka membuat ujian terakhir ke atas Ronaldo 48 jam sebelum perlawanan dan mereka yakin dia akan bebas Covid-19.

Messi memperkatakan mengenai aksi menentang Ronaldo dan dia berharap musuh lamanya itu dapat bermain.

"Jelas apabila Cristiano beraksi bersama Real Madrid perlawanan itu menjadi istimewa," kata Messi kepada DAZN. ''Aksi menentang mereka selalunya istimewa tetapi dengan adanya Ronaldo atas padang, mereka tampak lebih hebat.''

Bercakap mengenai permusuhannya dengan Ronaldo ketika di Real Madrid, Messi menambah: "Ia sudah berlalu dan kami memandang cabaran hari ini. Rabu depan mungkin anda dapat menyaksikannya dan kami berharap Cristiano ada di sana dan pulih daripada Covid-19.

"Aksi bersama Cristiano sangat istimewa dan akan kekal selamanya. Ia berlangsung bertahun lamanya dan bukan mudah mengekalkannya pada tahap itu untuk tempoh lama.

''Persaingan saya dengan Cristiano sangat baik dari segi peribadi dan saya fikir semua orang seronok melihatnya.

''Penyokong Real, Barca dan semua peminat bola sepak sudah menyaksikan pertembungan kami dan kami berharap dapat mengulanginya minggu depan.''

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 6:58 PM