BINDER meraikan kejayaan selepas meraih kejuaraan sulung MotoGP. FOTO AFP
BINDER meraikan kejayaan selepas meraih kejuaraan sulung MotoGP. FOTO AFP
AFP

BANYAK sejarah dilakar selepas saingan MotoGP Czech sebentar tadi yang menyaksikan Brad Binder muncul juara.

Pelumba KTM itu berjaya mengetepikan Franco Morbidelli dari pasukan Petronas Yamaha SRT dan juga pemenang petak utama, Johan Zarco (Ducati-Avintia).

Ia bukan saja kejayaan sulung pelumba berusia 24 tahun itu dalam saingan MotoGP selepas tiga perlumbaan tapi menjadi kemenangan sulung KTM dalam kelas berkenaan.

Binder juga menjadi pelumba Afrika Selatan pertama meraih kejayaan dalam saingan MotoGP.

"Ia adalah hari yang saya impikan sejak kanak-kanak lagi dan hari ini menjadi kenyataan.

"Pasukan saya mempersiapkan jentera yang sangat luar biasa hujung minggu ini. Saya tidak tahu kami mempunyai kemampuan untuk menang namun saya menjangkakan ia satu petanda yang baik," kata Binder.

Sementara itu, Enea Bastianini dari pasukan Italtrans Racing Team muncul juara Moto2 dengan mengetepikan Sam Lowes (EG 0,0 Marc VDS) di tempat kedua, manakala Joe Roberts (Tennor American Racing) hanya berpuas hati di tempat ketiga.

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin (Openbank Aspar Team) menduduki tempat kesembilan, manakala Kasma Daniel Kasmayudin dari Onexox TKKR SAG Team gagal menamatkan perlumbaan.

Saingan Moto3 menyaksikan Dennis Foggia dari Leopard Racing muncul juara, manakala Albert Arenas (Gaviota Aspar Team) di tempat kedua, diikuti Ai Ogura (Honda Team Asia) di kedudukan ketiga.

Pelumba negara, Khairul Idham Pawi dari Petronas Sprinta Racing menduduki tempat ke-22.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 10:38 PM