REEZAL berkata kelonggaran diberikan perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. FOTO Bernama
REEZAL berkata kelonggaran diberikan perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


NEGARA kini sudah bersedia untuk kembali ke dunia sukan apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mula melonggarkan syarat beberapa jenis sukan dan rekreasi yang akan dibuka semula 10 Jun.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bagaimanapun berkata, kelonggaran diberikan itu perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau berkata, pastinya berita gembira itu akan memberi manfaat kepada komuniti sukan dan industri sukan secara umumnya.

"Dengan kelonggaran yang diberikan ini, apa yang dapat diperkatakan adalah negara sudah bersedia untuk kembalikan dunia sukan.

"Pelbagai inisiatif dan cadangan SOP sektor sukan dan dari negara luar juga diteliti dan mengambilkira pandangan pihak MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) yang bakal dilaksanakan secara beransur dan dengan tanggungjawab bersama semua pihak," katanya.

Bagaimanapun Reezal menegaskan satu garis panduan khusus akan dikeluarkan esok selepas sidang media Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri.

Antara yang akan dimaklumkan adalah SOP pembukaan sektor sukan dan rekreasi fasa dua termasuklah tarikh ia akan berkuatkuasa.

Untuk makluman sukan yang dibenarkan adalah seperti boling, badminton, memanah dan menembak selain aktiviti yang tidak melebihi bilangan 10 orang.

Bagaimanapun sukan lain yang membabitkan pembabitan ramai seperti bola sepak, bola keranjang, hoki, ragbi, gusti dan tinju juga tidak dibenarkan kerana membabitkan sentuhan.

Mereka boleh melakukan aktiviti berkenaan sama ada di kawasan terbuka dan juga kawasan tertutup.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 7:20 PM