Sebahagian pemain muda yang menerima peralatan hoki pada Majlis Penyerahan Peralatan Sukan Program Pembangunan Hoki Negara.
Sebahagian pemain muda yang menerima peralatan hoki pada Majlis Penyerahan Peralatan Sukan Program Pembangunan Hoki Negara.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Peluang ubi muda hoki menyerlah dalam pertandingan kompetitif menjadi kenyataan apabila mereka bakal menjadi antara watak penting dalam pasukan Pembangunan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pada saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2022.

Malah, pemain yang 'tersisih' atau tidak mempunyai pasukan kemungkinan berada dalam senarai sekali gus menyaksikan gandingan orang lama dan baharu membarisi skuad Pembangunan KHM.

Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas KHM Paul Revington akan diberikan tanggungjawab untuk memilih pemain yang dilihat berpotensi untuk disenaraikan dalam pasukan terbabit.

Beliau berkata, pihaknya tidak meletakkan harapan tinggi terhadap pasukan itu namun percaya barisan pemain muda yang beraksi kelak akan menyerlah sekali gus mampu mewakili negara pada masa akan datang.

"Kita pentingkan kualiti daripada kuantiti iaitu mahu beri peluang kepada pemain muda untuk bermain dalam saingan kompetitif.

"Oleh sebab itu, kita letak pemain muda atau mereka yang tiada pasukan supaya dapat terus bermain. Ada beberapa pemain berkenaan berbakat sekali gus perlu diberikan peluang.

"Saya boleh katakan, mungkin sasaran pada saingan liga itu mereka kurang menyerlah namun perkara penting dapat mengembangkan bakat mereka," katanya, pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Peralatan Sukan Program Pembangunan Hoki Negara, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai jurulatih yang bakal memimpin pasukan berkenaan, Subahan berkata, perkara itu akan diputuskan dalam masa terdekat ini.

"Kita sudah kenal pasti jurulatih berkenaan dan akan umumkan pada minggu depan. Jika diikutkan jurulatih berkenaan turut menjaga pemain muda untuk beraksi di kejohanan Piala Dunia Remaja Hoki 2023," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 5:02 PM