SHAHREL (tengah)  diasak pemain pasukan Felda United pada perlawanan Liga Super diantara Perak menentang Felda United di Stadium Perak minggu lalu. FOTO NSTP
SHAHREL (tengah) diasak pemain pasukan Felda United pada perlawanan Liga Super diantara Perak menentang Felda United di Stadium Perak minggu lalu. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyerang Perak, Mohd Shahrel Fikri tetap dengan fokus utama untuk membantu pasukan layak beraksi ke Piala AFC musim depan terlebih dahulu sambil menyifatkan Anugerah Kasut Emas adalah bonus sekiranya berjaya kekal selaku penjaring terbanyak Liga Super musim ini.

Ini kerana, skuad kendalian Mehmet Durakovic hanya berkelebihan satu mata dengan Kedah yang kini di tangga ketiga liga dan sudah pasti, Shahrel enggan terlalu 'tamak' mengejar jaringan sehingga membelakangkan kejayaan pasukan.

Ketika ini, penyerang skuad Harimau Malaya itu mengungguli carta penjaring terbanyak dengan sembilan gol selepas berjaya meledak empat gol ketika menentang Felda United, Jumaat lalu sekali gus membantu Perak untuk menduduki tangga kedua liga.

"Sememangnya ini adalah pencapaian membanggakan untuk saya kerana sebelum ini kalau kita tengok, selalunya pemain import yang mendominasi penjaring terbanyak, tetapi sekarang saya berjaya buktikan pemain tempatan juga mampu untuk berada di tahap ini.

"Kalau boleh memang saya nak tambah lagi gol untuk dua lagi perlawanan, tetapi macam-macam boleh jadi dan saya tidak mahu tamak untuk mengejar gol sebaliknya misi utama adalah untuk pastikan Perak menang.

"Dengan sembilan gol sekarang, tidak jauh beza dengan penjaring lain seperti Tchetche Kipree (Kedah) dan lain-lain yang kini mengumpul tujuh dan enam gol, dan mereka juga pasti akan turut sama melakukan yang terbaik untuk prestasi masing-masing.

"Apa-apa pun, slot ke Piala AFC tetap diutamakan dan mahu atau tidak, kami kena menang dalam baki dua perlawanan ini," katanya.

Shahrel satu-satunya pemain tempatan yang berada dalam kelompok penjaring terbanyak diikuti Kipree, Dominique Da Sylva (Terengganu FC) dan Ifedayo Olusegun (Selangor) dengan tujuh gol manakala Gonzalo Cabrera (Johor Darul Ta'zim) menjaringkan enam gol.

Bakal berdepan Pahang dan Kedah dalam dua perlawanan terakhir liga, bekas pemain Nakhon Ratchasima FC ini menyifatkan ia akan menjadi perlawanan yang cukup sengit terutamanya Kedah yang sudah pasti enggan melepaskan peluang merebut kedudukan kedua terbaik, musim ini.

Namun, Shahrel melihat semangat rakan sepasukan kini cukup baik dengan tiga kemenangan berturut-turut khususnya selepas mereka dimalukan menerusi kekalahan besar 7-0 kepada JDT, bulan lalu.

"Saya tengok tahap keyakinan kami semua semakin tinggi dan selepas kalah besar dengan JDT tempoh hari, kami bangkit untuk menang dalam tiga perlawanan berturut-turut.

"Yang penting, kami tidak boleh leka dan perlu ingat, Pahang dan Kedah juga mesti tidak akan memberi laluan mudah kepada Perak kerana mereka juga enggan ketinggalan untuk menamatkan liga di kedudukan terbaik terutamanya Kedah.

"Saya percaya kami semua akan dapat kekalkan momentum yang ada ini selepas berdepan pelbagai cabaran daripada awal musim sehingga kini," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 7:26 PM