SHAHREL Fikri (kiri) berjaya menjaringkan tiga gol dalam empat perlawanan ketika ini. FOTO ABDULLAH YUSOF.
SHAHREL Fikri (kiri) berjaya menjaringkan tiga gol dalam empat perlawanan ketika ini. FOTO ABDULLAH YUSOF.
Syazwan Msar


MAHU buktikan penyerang tempatan bukan ‘cap ayam’ menyebabkan penggempur Perak Shahrel Fikri percaya dirinya mampu memberi cabaran sengit kepada penyerang import untuk memburu status penjaring terbanyak dalam saingan Liga Super musim ini.

Walaupun perlu bersaing dengan awang import namun dia tetap optimis dan melihat tiada yang mustahil untuk mengatasi kemampuan penyerang luar negara pada musim ini berdasarkan pencapaian yang diraihnya.

Rekod yang cemerlang dimiliki Shahrel iaitu berjaya menjaringkan tiga gol dalam empat perlawanan ketika ini seharusnya berbangga apabila sebaris dengan Kpah Sherman (Kedah), Ivan Carlos (Pahang) dan Ifedayo Omosuyi (Selangor) manakala penyerang import Terengganu FC, Dominique Da Sylva menjadi penjaring terbanyak dengan menghimpun empat gol.

Sudah pasti, kelebihan lebih memihak kepada pemain import untuk terus kekal selaku penjaring terbanyak apabila sering menjadi pilihan dalam kesebelasan utama, namun itu tidak menghalang Shahrel untuk memastikan dia terus diberi kepercayaan sebagai tonggak utama pasukan.

“Saya memang tak sangka juga untuk sekarang ini, saya satu-satunya pemain tempatan yang dalam kelompok penjaring kedua terbanyak bersama pemain import lain, namun ini masih awal dan saya tidak boleh berasa selesa.

“Kalau ikutkan, persaingan antara pemain tempatan saya melihat Safawi Rasid antara yang boleh memberi cabaran, namun saya juga ingin cuba bagi saingan hebat kepada penyerang import lain.

“Sekarang dalam pasukan, saya bersama Guilherme De Paula diberi kepercayaan selaku penyerang utama dan saya akan gunakan peluang itu sebaik mungkin untuk terus menjaringkan gol dan terus mendapat tempat dalam kesebelasan utama,” kata penyerang kebangsaan itu.

Kali terakhir Anugerah Kasut Emas dimenangi pemain tempatan adalah pada 2011 yang dilakukan oleh Abdul Hadi Yahya bersama pasukan Terengganu menerusi ledakan 20 gol.

Perak sekarang berada di tangga kedua liga bersaing rapat dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi perbezaan dua mata dan kedua-dua pasukan ini masih kekal dengan rekod bersih tanpa kalah dalam empat perlawanan setakat ini.

Namun saingan domestik musim ini masih ditangguhkan sejak 16 Mac lalu oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Sudah pasti, cabaran sukar sebaik sahaja saingan liga kembali bersambung adalah untuk memastikan prestasi pasukan Perak konsisten dan tidak tersungkur dengan kekalahan dalam perlawanan seterusnya.

“Kalau kita tengok pencapaian Perak pada setiap musim ada naik turun dan bukan senang untuk konsisten.

“Saya harap permulaan yang baik ini dapat diteruskan dan akan kita terus mengutip mata dalam perlawanan akan datang, walaupun satu mata pun tidak mengapa asalkan jangan kalah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 5:51 PM