Atlet Malaysia, Grace Wong (tengah) berjaya merangkul pingat emas dalam acara papan selaju kategori downhill Sukan Sea Filipina tahun lalu.
Atlet Malaysia, Grace Wong (tengah) berjaya merangkul pingat emas dalam acara papan selaju kategori downhill Sukan Sea Filipina tahun lalu.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Menyedari papan selaju akan dipertandingkan di Sukan Olimpik, Persekutuan Luncur Beroda Malaysia (Myskate) mempunyai hasrat untuk menjadikan ia sebagai acara demonstrasi di Sukan Malaysia (Sukma).

Presidennya, Idroose Tambarin berkata, pengenalan papan selaju di Sukma bertujuan sebagai langkah pendedahan awal dan juga pengenalan kepada orang ramai.

"Ini memandangkan sukan baharu ini semakin diterima ramai selain ia bakal membuat penampilan sulung di temasya Sukan Olimpik di Tokyo tahun depan dan mempunyai potensi dipertandingkan di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2028," katanya.

Idroose berkata, sukan baharu ini harus diperkembangkan lagi supaya tidak jauh ketinggalan dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa.

"Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melihatnya cadangan diperkenalkan di Sukma adalah langkah baik, cuma Sukma bergantung kepada tuan rumah. Begitupun, tuan rumah sudah buat persediaan awal dan tentunya mereka mempunyai perancangan sendiri.

"Jadi kalau mereka sudah mempunyai perancangan atau jenis sukan dipertandingkan, apa yang kita boleh nampak adalah kita ke sana sebagai acara sampingan, sebagai sukan demonstrasi bagi memperkenalkan sukan itu kerana kita harus mulakannya daripada sekarang," katanya.

Menurut Idroose, sukan-sukan lain sudah mula menyertai Sukan Olimpik malah pada 2024 sudah ada beberapa sukan baharu dalam senarai akhir.

"Malah pada Olimpik Los Angeles 2028, sukan ini amat terkenal di negara berkenaan dan itu adalah satu agenda besar untuk acara ini pada 2028.

"Jadi kita di sini, perlu fokus kepada akar umbi dan memberi pendedahan kepada atlet kita. Di Sukan Sea tahun lalu kita ada meraih satu pingat emas dan satu gangsa dalam acara downhill.

"Luncur beroda ini mempunyai pelbagai disiplin, lebih kurang ada 11 disiplin dan di Malaysia, kita hanya memberi tumpuan kepada enam disiplin daripada sukan ini yang boleh diketengahkan lagi ke peringkat seterusnya," katanya.

Ditanya apakah disiplin yang bakal diketengahkan di Sukma, Idroose berkata, mereka menimbang tiga acara iaitu papan selaju 'street', 'game of skate' dan 'inline speed skating'.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 7:31 PM