AFP

ATLET muda papan selaju Jepun, Misugu Okamoto enggan memasang impian meraih pingat emas pada Sukan Olimpik biarpun muncul juara dunia termuda papan selaju di Candido Portinari Park, Sao Paulo, Brazil.

Remaja perempuan berusia 13 tahun itu meraih gelaran pada Kejuaraan Papan Selaju Dunia (Taman) dengan menewaskan rakan senegara, Sakura Yosozumi dan Sky Brown dari Britain yang menduduki tempat ketiga, semalam.

Acara itu akan dipertandingkan untuk julung kali pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Biarpun bertubuh kecil, Misugu menang semua lima pertandingan terakhir disertainya dengan mempamer aksi cemerlang termasuk pingat emas pada penampilan pertama pada sukan berprestij X Games bulan lalu.

Dia bagaimanapun tetap merendah diri dan tidak memasang angan-angan.

“Saya tidak memikirkan semua kemenangan dicapai atau menjadi juara dunia termuda,” katanya.

“Saya tidak merasakan saya terbaik di dunia,” kata atlet remaja itu yang meraih 61.17 mata mengatasi Sakura (60.00) dan Sky yang berusia 11 (58.13) yang cuba untuk menjadi remaja wanita termuda dunia bertarung pada Sukan Olimpik dalam tempoh 50 tahun.

“Saya tidak ada idea mengenai Olimpik tetapi saya akan bekerjasama dengan jurulatih untuk terus mempelajari muslihat baru dan bersaing ke peringkat lebih besar.”

Misugu menegaskan dia mahu diiktiraf oleh rakan sebayanya dalam arena papan selaju dengan memgambil kira ia sebagai gaya bebas dalam sukan itu seperti mana sukan luncur yang juga akan membuat penampilan pertama di Sukan Olimpik di Tokyo.

“Sukan papan selaju bukan hanya berdasarkan pertandingan,” katanya.

“Saya mahu menjadi salah seorang atlet terbaik daripada perspektif kebudayaan. Laluan saya masih jauh tetapi itulah matlamat saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 6:21 PM