KERETA  Verstappen terbabas di litar  Mugello. FOTO AFP
KERETA Verstappen terbabas di litar Mugello. FOTO AFP
Agensi

London: Prinsipal pasukan Red Bull, Christian Horner berkata, Max Verstappen perlu melupakan kekecewaan dialami setakat ini dalam saingan Formula 1.

Harapan Verstappen memburu kejuaraan berdepan tamparan hebat selepas gagal menamatkan perlumbaan di Monza dan Mugello sekaligus pelumba Red Bull itu ketinggalan 80 mata di belakang pendahulu kejohanan, Lewis Hamilton.

Pelumba Belanda itu terbabit nahas di Mugello selepas kehilangan kuasa pada permulaan perlumbaan. Sebelum itu dia mendakwa enjin Honda mengalami masalah ketika di grid sebelum perlumbaan berlangsung.

Ia perlumbaan kedua berturut-turut menyaksikan Verstappen mengalami masalah teknikal dan insiden di Mugello adalah yang ketiga selepas turut berdepan nasib sama di Austria.

Horner berkata dia memahami kekecewaan Verstappen dan akan bersemuka dengannya sebelum Grand Prix Russia hujung minggu ini bagi membincangkan rancangan pasukan menyelesaikan masalah itu.

''Kekecewaan Max selepas satu lagi DNF memang difahami,'' kata Horner dalam laman web pasukan.

''Sejak pusingan pertama di Mugello dia mengalaminya. Kami mempunyai jentera yang laju dan beberapa kemajuan dilakukan dengan keseimbangan kereta.''

''Ini yang menjejaskan konsentrasinya. Ketika adrenalin memuncak pada permulaan tetapi berakhir dengan tidak sepatutnya sudah pasti mengecewakan.''

''Kami benar-benar yakin mampu bersaing dengan Mercedes. Dia bekerja keras mahu menewaskan Lewis tetapi tidak menjadi.''

Tetapi Horner yakin semangat juang tinggi Verstappen dan keinginan membara mampu melonjakkan kembali reputasinya dalam perlumbaan F1.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 12:05 PM