PIRLO menemui Ronaldo selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
PIRLO menemui Ronaldo selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
AFP

Milan: Andrea Pirlo memulakan karier selaku jurulatih dengan kemenangan selepas Juventus menewaskan Sampdoria 3-0 pada perlawanan pertama dalam usaha kelab itu untuk memenangi kejuaraan liga buat kali ke-10 berturut-turut.

Dejan Kulusevski menjaringkan gol pembukaan selepas 13 minit di Turin dengan Leonardo Bonucci menambah gol kedua minit ke-78.

Bintang Juventus, Cristiano Ronaldo melengkapkan kemenangan bergaya pasukannya dengan menyumbang gol ketiga pada lewat permainan.

Perlawanan itu berlangsung di depan 1,000 penonton selepas Serie A membenarkan kemasukan jumlah penyokong yang terhad ke dalam stadium selepas tujuh bulan berikutan pandemik Covid-19.

Kemenangan itu menyaksikan Pirlo dapat memulakan kariernya dengan cemerlang selepas mengambil alih tugas daripada Maurizio Sarri pada musim panas lalu.

Kemenangan ke atas Sampdoria yang dilatih oleh Claudio Ranieri hadir sehari selepas bekas bintang Itali dan Juventus itu menerima diploma kejurulatihan.

Juventus menurunkan pemain yang baru ditandatangani iaitu Weston McKennie dan Kulusevski yang menyertai kelab itu dari Atalanta sebelum dipinjamkan ke Parma.

Juventus akan berkunjung ke Roma minggu depan sebelum menanti kunjungan Napoli.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 9:42 AM