PEMAIN Perak, Guilherme De Paula (kanan) cuba untuk melepasi pemain PDRM, Ahmad Syahmi Shukri pada aksi perlawanan Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. FOTO ASYRAF HAMZAH
PEMAIN Perak, Guilherme De Paula (kanan) cuba untuk melepasi pemain PDRM, Ahmad Syahmi Shukri pada aksi perlawanan Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. FOTO ASYRAF HAMZAH
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Perak meneruskan rentak kemenangan dalam kempen Liga Super apabila mudah menundukkan PDRM FC 2-0, sebentar tadi untuk menghidupkan peluang menamatkan saingan selaku naib juara sekali gus meraih tiket automatik ke Piala AFC musim depan.

Aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu bagaimanapun terpaksa ditangguh sehingga 10.30 malam ekoran hujan lebat yang turun sejak petang.

Meskipun hampir satu jam setengah ditangguh, kedua-dua pasukan tetap memperagakan aksi bertenaga dengan skuad The Bos Gaurus lebih garang sepanjang 90 minit aksi.

Paling hampir buat pelawat meraih gol adalah pada minit ke-21 menerusi tandukan padu Leandro dos Santos yang menyambut baik sepakan sudut Rafiuddin Roddin namun percubaan itu sedikit tersasar.

Ketika pelawat rancak menyerang, PDRM FC hampir merobek gawang Perak tapi rembatan deras Ahmad Nizam Rodzi sekadar singgah ke tiang untuk di minit ke-29.

Gol yang dicari oleh anak buah Mehmet Durakovic hanya berhasil pada babak kedua menerusi penyerang Harimau Malaya, Shahrel Fikri pada minit ke-55 selepas dia melepaskan satu rembatan bak peluru yang sama sekali gagal dihalang Mohd Farzly Muhamad.

Jaringan dari luar kotak penalti yang cantik itu adalah gol kelima buat Shahrel dalam saingan liga musim ini.

Skuad The Cops yang dibimbing Ishak Kunju cuba bangkit namun pelawat pula berjaya melebarkan kedudukan dengan gol kedua hasil tandukan Leandro pada minit ke-87.

Kekalahan tuan rumah itu meletakkan PDRM FC di posisi bahaya tersingkir ke Liga Perdana musim depan manakala pelawat berjaya memperbaiki kedudukan di kelompok atasan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 12:44 AM