REAKSI Leylah selepas menewaskan Aryna. FOTO AFP
REAKSI Leylah selepas menewaskan Aryna. FOTO AFP
AFP

New York: Sensasi remaja Kanada, Leylah Fernandez melangkah ke pentas final Grand Slam kali pertama selepas menewaskan pemain nombor dua dunia, Aryna Sabalenka dari Belarus pada aksi separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Pemain berusia 19 tahun itu menewaskan Sabalenka 7-6 (7/3), 4-6, 6-4 sekali gus berpeluang memenangi gelaran Grand Slam pertama di Stadium Arthur Ashe, esok.

"Saya tak tahu bagaimana memperoleh mata terakhir itu tetapi saya gembira akhirnya dapat melangkah ke final," kata Leylah.

Leylah yang menduduki ranking ke-73 dunia dan beraksi menggunakan tangan kiri, menjadikan Aryna mangsa terbarunya di saingan itu selepas sebelum itu mengatasi juara bertahan, Naomi Osaka dan pilihan kelima, Elina Svitolina.

Tidak pernah berlaku sejak Serena Williams melakukannya pada 2012 di Wimbledon apabila ada pemain yang berjaya menewaskan tiga pemain menduduki ranking kelima terbaik di Grand Slam.

"Saya tak mahu ambil tahu semua itu. Saya hanya mahu beraksi di final. Saya mahu meraikan kemenangan ini dan bersedia untuk aksi final esok.

"Kerja keras saya selama bertahun-tahun ketika sesi latihan akhirnya membuahkan hasil," katanya.

Pada aksi final esok, Leylah akan bertemu pemain British berusia 18 tahun, Emma Raducanu, pemain pertama yang beraksi dari pusingan kelayakan berjaya melangkah ke final Grand Slam selepas menewaskan Maria Sakkari 6-1, 6-4 pada satu lagi aksi separuh akhir.

Leylah yang akan berusia 19 tahun Isnin ini, tidak pernah melangkah melebihi pusingan ketiga pada enam penampilannya di Grand Slam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 10:55 AM