SANCHO cemerlang bersama Dortmund. FOTO AFP
SANCHO cemerlang bersama Dortmund. FOTO AFP
Agensi

MANCHESTER United menampakkan kemajuan dalam usaha mereka menandatangani sayap England, Jadon Sancho dari Borussia Dortmund.

Kelab itu mengakhiri kebuntuan dengan bersetuju mengenai gaji dan yuran ejen yang tampak mampu merealisasikan impian mereka mendapatkan pemain idaman.

Tetapi masih belum ada jaminan mengenai perjanjian di antara kedua-dua kelab sebelum tamat tempoh perpindahan pada 5 Oktober.

Menurut sumber dari Dortmund, kelab terbabit kekal tidak berganjak dengan yuran ditetapkan £100 juta (RM541 juta) tetapi mereka bersedia menjual pemain berusia 20 tahun itu dan mungkin lebih 'berlembut' menjelang tarikh tamat perpindahan.

United pula sedia mencari alternatif lain jika Dortmund tidak mengurangkan bayaran diminta.

Minggu lalu, Red Devils menandatangani pemain tengah Belanda, Donny van de Beek dari Ajax dengan harga £35 juta (RM189 juta).

Sementara itu, sumber memberitahu BBC Sport, impak koronavirus di Old Trafford memberi kesan kepada kelab yang akan mengeluarkan penyata kewangan 2019-20 bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 8:27 AM