SUKAN Olimpik Tokyo tetap akan dianjurkan tanpa mengira situasi pandemik Covid-19. FOTO AFP
SUKAN Olimpik Tokyo tetap akan dianjurkan tanpa mengira situasi pandemik Covid-19. FOTO AFP
AFP

SUKAN Olimpik Tokyo yang ditangguhkan pada tahun depan akan tetap dianjurkan tanpa mengira situasi pandemik Covid-19, kata Naib Presiden IOC, John Coates.

Temasya sukan terbesar dunia itu tidak pernah dibatalkan selain daripada ketika perang dunia dan Coates berkata ia tetap akan dilangsungkan mengikut jadual yang ditetapkan.

"Ia akan tetap berlangsung dengan atau tanpa Covid-19. Ia akan bermula pada 23 Julai tahun depan," kata Coates yang mengetuai Suruhanjaya Penyelarasan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa untuk Sukan Olimpik Tokyo.

Sukan Olimpik 2020 ditunda kerana pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.

Bagaimanapun sempadan Jepun masih ditutup kepada pelancong dan dengan ketiadaan vaksin untuk tempoh beberapa bulan atau tahun akan datang, timbul spekulasi berkenaan pembatalan temasya empat tahun sekali itu.

Jawatankuasa khas ditubuhkan membabitkan pegawai IOC dan Jepun untuk menilai senario pada tahun 2021.

Ia membabitkan bagaimana kawalan sempadan akan memberi kesan kepada pergerakan atlet serta pegawai dan sama ada peminat boleh hadir.

"Tugas mereka sekarang ialah melihat langkah yang diperlukan untuk memastikan temasya berlangsung," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 1:57 PM