Pemain Kedah, Muhammad Faizat Mohamad Ghazli (kiri) menghalang tonggak PJ City, Filemon Anvie Standly pada aksi Liga Super. FOTO Bernama
Pemain Kedah, Muhammad Faizat Mohamad Ghazli (kiri) menghalang tonggak PJ City, Filemon Anvie Standly pada aksi Liga Super. FOTO Bernama
Izzali Ismail


KEDAH melonjak ke kedudukan ketiga carta Liga Super selepas kejayaan menewaskan Petaling Jaya FC (PJ City) 2-1 dalam perlawanan penuh bersemangat di Stadium Darul Aman, Alor Setar, sebentar tadi.

Kemenangan ketiga berturut-turut yang dilakar ini membuktikan semangat Lang Merah terus membara di sebalik isu baki tunggakan gaji yang membelenggu mereka sejak awal tahun ini.

PJ City bagaimana terlebih dahulu mengejutkan Kedah pada minit ke-15 apabila penyerang sensasinya Washington Brandao berjaya melakukan larian deras dan melepasi benteng Kedah seterusnya mencuba dari ruang kiri gawang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Ifwat Akmal.

Tersentak dengan gol PJ City, Kedah bangkit memburu gol penyamaan dan akhirnya terhasil apabila penyerang, Kpah Sherman yang mendapat umpanan daripada Rizal Ghazali, bijak memanfaatkan keadaan dengan memusingkan badannya untuk merembat bola menewaskan penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz pada minit ke-24.

Kedah meneruskan usaha memburu gol namun buntu memanfaatkan peluang mendapatkan gol tambahan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga ke hujung separuh masa pertama.

Babak kedua bersambung Kedah kembali mengasak ke kubu lawan beberapa kali menerusi gandingan tonggak import, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche namun gagal menambah jaringan.

Kipre Tchetche akhirnya memecah kebuntuan gol untuk Kedah pada minit ke-67, penyerang kelahiran Ivory Coast itu mendapat peluang dengan merembat deras bola ke jaring gawang PJ City untuk mengatasi lawan dengan 2-1.

Kedudukan kekal hingga ke penghujung perlawanan menyaksikan Lang Merah mencapai kemenangan buat kali ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 11:29 PM