HELMI juarai pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix Malaysia.
HELMI juarai pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix Malaysia.
Saiful Affendy Sapran

STRATEGI tepat pada saat akhir memberi kelebihan kepada pelumba Hi Rev SCK Honda Racing, Md Helmi Azman apabila berjaya memenangi perlumbaan kategori CP150 pada pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas hari ini.

Bermula di petak ketiga, Helmi kekal berada di kelompok depan sebelum mengatur strategi pada pusingan terakhir untuk menamatkan perlumbaan dengan catatan 14 minit 15.941 saat (s), hanya 0.037s mengatasi pelumba, Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

"Saya sememangnya meletakkan sasaran untuk memenangi perlumbaan ini. Pada pusingan terakhir saya hanya mengekori pelumba di depan. Tujuannya untuk saya 'cucuk angin' pelumba di depan kerana keadaan litar di Sepang agak panjang untuk menuju ke garisan penamat," katanya selepas tamat perlumbaan.

Dia juga muncul juara pada pusingan pertama di Sepang tetapi gagal meraih mata pada pusingan kedua di Tangkak.

Sementara itu, Azroy yang kini mendahului kategori CP150 dengan mengumpul 56 mata selepas tiga pusingan, tidak mahu terlalu memikirkan mengenai kedudukan itu.

"Saya tak mahu terlalu fokus kepada kedudukan keseluruhan sebab tahun lalu apabila terlalu fikirkan perkara itu saya mula melakukan kesilapan.

"Saya hanya mahu mengutip sebanyak mungkin mata dan kalau boleh mahu menaiki podium di setiap pusingan.

"Dengan kata lain saya tak mahu beri tekanan kepada diri sendiri. Biarlah segala-galanya berjalan secara berperingkat," katanya.

Podium ketiga menjadi milik pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Akid Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 7:12 PM