Hamilton melambung trofi kemenangan di GP Sepanyol. FOTO AFP
Hamilton melambung trofi kemenangan di GP Sepanyol. FOTO AFP
Agensi

PELUMBA Mercedes, Lewis Hamilton melakar kemenangan kali ke-88 dalam kariernya di Formula Satu dan penamat podium ke-156 selepas mengungguli Grand Prix (GP) Sepanyol.

Ia juga adalah kemenangan kelima juara dunia enam kali itu di Sepanyol dan keempat berturut-turut.

Hamilton menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 24 saat berbanding pencabar terdekat, Max Verstappen dari Red Bull di tempat kedua.

Rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas pula meraih podium ketiga selepas ketinggalan 20 saat di belakang Verstappen.

Kemenangan itu menyaksikannya mendahului kejuaraan pemandu dengan kelebihan 37 mata berbanding Verstappen di tempat kedua.

"Kemenangan ini sungguh mengejutkan memandangkan kami menghadapi masalah tayar," kata Hamilton selepas kemenangan itu.

"Pengurusan tayar kami cukup cemerlang dan saya rasa kami akhirnya dapat memahami mengenai apa yang berlaku pada minggu lalu.

"Ia adalah hasil kerja keras. Cuaca cukup panas. Saya memberi fokus untuk mendapatkan permulaan yang sempurna dan selepas itu, ia berkaitan pengurusan tayar."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 4:07 PM