SUBAHAN  umum berita gembira buat peminat hoki negeri Kelantan.
SUBAHAN umum berita gembira buat peminat hoki negeri Kelantan.
BERNAMA

PENANTIAN peminat sukan hoki di Kelantan untuk memiliki padang hoki bertaraf antarabangsa bakal direalisasikan dalam tempoh terdekat.

Perkhabaran gembira itu dimaklumkan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal yang mengadakan lawatan singkat ke Negeri Cik Siti Wan Kembang itu hari ini, menurut KHM menerusi laman sesawangnya, www.mhc.org.my.

Menerusi pertemuan bersama perwakilan Persatuan Hoki Kelantan yang diketuai presidennya, Mohammad Azam Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat di Kota Darulnaim di Kota Bharu, Subahan mengesahkan Kerajaan Negeri Kelantan telah mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan dua padang hoki.

Katanya, pembinaan dua padang hoki berkenaan akan disertakan di dalam pelan pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau, Kelantan yang akan dibina menjelang Sukan Malaysia (Sukma) Kelantan 2024.

Pada masa sama, KHM turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang sentiasa memberikan sokongan penuh kepada badan induk sukan hoki itu, terutamanya dalam merealisasikan harapan peminat sukan hoki di Kelantan untuk memiliki padang hoki bertaraf antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 11:48 PM