Aksi pemain hoki dalam dewan kebangsaan.
Aksi pemain hoki dalam dewan kebangsaan.
BERNAMA

KEPUTUSAN Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memperkenalkan saingan Liga Hoki Dalam Dewan Kebangsaan bukan sahaja mampu mempopularkan sukan berkenaan, malah menjadi medan terbaik untuk mencungkil bakat baharu, bagi mewakili skuad kebangsaan.

Pemain hoki dalam dewan negara Muhammad Aminudin Mohd Zain berkata, hoki padang dan hoki dalam dewan mempunyai beberapa perbezaan ketara dan ini termasuklah dari segi keluasan padang, selain hoki dalam dewan memerlukan intensiti permainan lebih tinggi, kerana pemain perlu cepat bertindak untuk mengawal kawasan masing-masing.

"Bukan sahaja memiliki asas bermain hoki yang baik serta kebolehan membuat keputusan dengan cepat perlu dimiliki oleh seseorang pemain itu, tetapi memahami peraturan permainan juga sangat penting untuk pemain yang mahu menceburi sukan ini.

"Keputusan KHM memperkenalkan Liga Hoki Dalam Dewan pada saya sangat tepat, kerana ini akan menjadi landasan untuk hoki dalam dewan di popularkan lagi kerana di Malaysia, bila disebut mengenai hoki peminat kebanyakannya lebih mengenali hoki padang daripada (hoki) dalam dewan," katanya menerusi laman sesawang KHM; www.mhc.org.my.

Dalam pada itu, Muhammad Aminudin mendedahkan, beliau meraih pengalaman berharga apabila berpeluang menyertai sesi latihan skuad senior kebangsaan yang bersambung hari ini.

Anak jati Kelantan itu yang membantu Malaysia mempertahankan pingat emas acara hoki dalam dewan pada Sukan Sea 2019 di Filipina berkata, peluang menyertai latihan bersama beberapa pemain berpengalaman seperti Muhammad Razie Abd Rahim dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, membuka ruang untuknya menimba ilmu daripada kedua pemain tersebut.

"Saya bersyukur dipanggil menyertai pasukan kebangsaan dan saya sangat bangga kerana jika sebelum ini saya hanya melihat pemain seperti Razie dan Tengku beraksi sebagai pemain senior kebangsaan, tetapi kini saya berada bersama mereka menjalani sesi latihan.

"Saya seronok ketika sesi latihan kerana pemain-pemain senior banyak memberi tunjuk ajar dan mereka tidak kedekut ilmu. Seperti Razie beliau selalu menegur kesilapan yang dilakukan barisan pertahanan semasa latihan dan apa yang perlu dibaiki ketika kami dalam keadaan bertahan.

"Tengku pula banyak memberi ilmu dari segi ketika menyerang bagaimana untuk melakukan hantaran jauh dan sebagainya, selain strategi untuk melakukan serangan. Jadi sesi latihan menjadi sesuatu yang seronok, kerana saya sendiri dapat ilmu yang tidak saya miliki sebelum ini," jelas Muhammad Aminudin.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan dan Akademi Hoki Raja Ashman Shah Shurizan memaklumkan Liga Hoki Dalam Dewan Kebangsaan, bakal diadakan buat julung kali dari 17 Oktober hingga 20 Disember ini di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.

Penyertaan kejohanan dibuka kepada kelab hoki negeri serta pasukan tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 7:16 PM