AZHAN Shafriman  Hanif.
AZHAN Shafriman Hanif.
Saiful Affendy Sapran


PEMBATALAN Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia bukan saja diputuskan penganjur MotoGP, Dorna Sports, malah kerisauan kerajaan terhadap kemungkinan wujudnya 'kluster SIC atau MotoGP' dalam menangani pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berkata, pembatalan itu selepas mendapat nasihat daripada semua pihak termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain tidak mahu mewujudkan kluster itu.

"Kami sememangnya mahu menganjurkan saingan musim ini namun selepas mengambil kira pelbagai aspek serta peningkatan kes baru-baru ini, kami tidak mahu mengambil risiko kerana bimbang akan wujud kluster SIC atau MotoGP.

"Untuk ketika ini, memang kami sudah membatalkan kesemua kejohanan antarabangsa sepanjang tahun ini dan hanya fokus kepada penganjuran kejohanan tempatan," katanya ketika sesi bersama media menerusi persidangan video semalam.

Berhubung isu tiket yang sudah dibeli penyokong, Shafriman berkata kesemua mereka yang terbabit boleh mengubungi SIC untuk mendapatkan pulangan wang mereka.

Katanya, jumlah tiket yang sudah dijual tidaklah terlalu besar, sebaliknya merangkumi kira-kira 30 peratus sahaja daripada keseluruhan jumlah tiket.

"Kami mula menjual tiket pada awal tahun dan sebaik tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kami menghentikan penjualan tiket," katanya.

Jelas Shafriman, setakat ini pihaknya akan memulangkan wang daripada pembelian tiket itu dan belum mencapai persetujuan untuk membolehkan tiket sedia ada digunakan pada GP Malaysia 2021.

Dorna Sports sebelum ini mengumumkan pembatalan GP Malaysia bersama GP Argentina dan Thailand.

Sebelum ini GP America sudah dibatalkan. Malaysia tidak pernah gagal menganjurkan perlumbaan berpestij itu sejak 1991 dengan SIC menganjurkan GP Malaysia sejak 1999.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 6:09 PM