MAYWEATHER gemar menunjukkan kemewahannya. FOTO Agensi
MAYWEATHER gemar menunjukkan kemewahannya. FOTO Agensi
Agensi

FLOYD Mayweather yakin mampu meraih sehingga £54 juta (RM296.6 juta) menerusi perlawanan pertunjukan yang digambarkannya sebagai 'latihan yang menyeronokkan'.

Ia selepas petinju berusia 43 tahun itu meraih £7 juta (RM38.4 juta) pada 2018 ketika hanya beraksi kurang tiga minit dengan menewaskan petinju Jepun, Tenshin Nasukawa di Tokyo.

Dengan Mayweather merancang untuk 'buat duit' sekali lagi di Jepun, dia mahukan perlawanan yang belum pernah terjadi sebelum ini.

Dia memberitahu penyanyi rap Fat Joe: "Seperti sekarang, jika saya beraksi pada perlawanan pertunjukan, saya boleh meraih antara 10 hingga 70 juta.

"Saya hanya beraksi pada perlawanan pertunjukkan, bukan perlawanan sebenar. Hanya sedikit latihan yang menyeronokkan."

Mayweather juga memuji keputusan Mike Tyson kembali ke gelanggang untuk bertemu Roy Jones Jr, 51, pada perlawanan pertunjukan lapan pusingan.

Legenda Amerika Syarikat (AS) itu bersara dari era profesional pada 2017 selepas menewaskan bintang UFC, Conor McGregor, 32.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 10:34 PM