TUGAS Pearson akan digantikan oleh Mullins. FOTO AFP
TUGAS Pearson akan digantikan oleh Mullins. FOTO AFP
AFP

NIGEL Pearson dipecat sebagai pengurus Watford awal pagi tadi tatkala dua lagi perlawanan untuk kelab berkenaan berjuang mengelak daripada tersingkir dari Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pearson digantikan dengan Hayden Mullins sebagai pengurus sementara menjelang dua perlawanan terakhir menentang Manchester City dan Arsenal yang mengancam mereka untuk tersingkir ke Liga Kejuaraan.

"Watford FC mengesahkan Nigel Pearson akan meninggalkan kelab dengan serta-merta.

"Hayden Mullins, bersama Graham Stack sebagai pembantunya, akan mengambil alih jawatan berkenaan buat sementara waktu bagi menghabiskan dua saingan musim 2019/20," kata kelab berkenaan dalam satu kenyataan.

Pearson adalah pengurus ketiga yang dipecat oleh Hornets musim ini, ia bermula dengan pemergian Javi Gracia dan Quique Sanchez Flores.

Watford berada di tangga ke-17, tiga mata di atas zon penyingkiran dan akan menanti kunjungan City pagi Rabu, manakala pasukan tangga ketiga terbawah, Aston Villa berbaki dua perlawanan dan Bournemouth (dua terbawah) satu.

Keputusan untuk menyingkirkan Pearson adalah sangat mengejutkan selepas pengendali berusia 56 tahun itu mengeluarkan Watford dari dasar liga sejak beliau tiba Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 1:55 PM