BARISAN pemain profesional negara akan menyertai sesi latihan bersama barisan pemain BAM bermula esok. FOTO Bernama
BARISAN pemain profesional negara akan menyertai sesi latihan bersama barisan pemain BAM bermula esok. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


KESEMUA pemain badminton profesional negara bakal memulakan latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) selepas ujian Covid-19 yang dijalankan ke atas mereka semalam negatif.

Lapan pemain terdiri daripada, Liew Daren, Soong Joo Ven, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dijadualkan menjalani latihan bersama skuad kebangsaan bermula esok.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), kesemua atlet diarahkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran latihan mengikut standard Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kesihatan dan keselamatan semua pemain yang berada di ABM sentiasa menjadi keutamaan BAM.

"Atlet perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelak sebarang kesulitan dan perkara tidak diingini," katanya.

Kesemua atlet profesional adalah daripada kalangan pemain terbaik negara yang dipanggil untuk persediaan Piala Thomas dan Uber selain Program Road To Tokyo (RTT) membabitkan beregu campuran, Peng Soon-Liu Ying.

Pemain dalam senarai Piala Thomas akan menjalani latihan setiap hari manakala bagi Peng Soon-Liu Ying mereka akan berada di ABM dua kali seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 8:33 PM