PENG SOON (kanan) dan Liu Ying sudah melapor diri di ABM. FOTO Muhaizan Yahya
PENG SOON (kanan) dan Liu Ying sudah melapor diri di ABM. FOTO Muhaizan Yahya
Aida Adilah Mat


TIADA masalah buat pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon untuk berkongsi ilmu bersama pemain muda malah dia turut berharap mereka yang berada di Akademi Badminton Malaysia (ABM) juga sudi berkongsi pengalaman dan kelebihan yang ada.

Peng Soon dan pasangannya Goh Liu Ying melapor diri di ABM semalam dan kini menunggu keputusan swab sebelum dibenarkan berlatih bersama-sama rakan seperjuangan yang lain.

Bagi Peng Soon, dia memang menantikan peluang itu kerana ABM adalah tempat di mana dia bermula sebagai pemain badminton negara.

"Saya rasa sangat gembira dapat kembali di ABM, ia rasa sama seperti balik ke rumah sendiri.

"Ini adalah peluang terbaik buat pemain belajar sesama sendiri. Apa yang ada dikongsi bersama-sama. Peluang yang ada ini perlu digunakan sebaik mungkin untuk belajar dan memperbaiki kelemahan," katanya.

ABM membuka pintu buat pemain profesional negara berlatih bersama di bawah satu bumbung dan seramai lapan pemain melapor diri kelmarin dalam persediaan menghadapi Piala Thomas dan Uber selain Program Road To Tokyo.

Mereka terdiri daripada, Liew Daren, Soong Joo Ven, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Kesemua mereka selesai menjalani ujian swab kelmarin dan perlu dikuarantin selama dua hari sebelum dibenarkan untuk menjalani latihan bersama skuad.

Pengarah kejurulatihan BAM Wong Choong Hann berkata, beliau percaya pendekatan yang digunakan oleh BAM ini akan memberi kelebihan dan situasi menang-menang buat semua pemain sebagai persiapan untuk menghadapi Piala Thomas dan Olimpik Tokyo.

"Saya percaya kami memilih pemain terbaik yang mempunyai potensi di negara ini untuk mengalas tugas di Piala Thomas dan Uber nanti. Itu antara sebab mengapa kami mahu membuat persediaan lebih cepat kerana ia akan memberi lebih banyak masa buat jurulatih menilai perkembangan pemain sebelum membuat keputusan terbaik buat pasukan.

"Kesemua pemain yang bakal beraksi di Piala Thomas dan Uber akan menjalani latihan setiap hari di ABM manakala bagi Peng Soon-Liu Ying, mereka akan berada di ABM dua kali seminggu," katanya.

Saingan Piala Thomas dan Uber akan berlangsung di Aarhus, Denmark bermula 3 hingga 11 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 6:19 PM