MOHD Shah  (baju kuning) ketika menerima kunjungan  Noorul Ariffin, Pengurus Operasi - Amin Aminuddin Nasir, bekas pemain bola sepak negara, Khalid Ali dan Hanafiah Ali.
MOHD Shah (baju kuning) ketika menerima kunjungan Noorul Ariffin, Pengurus Operasi - Amin Aminuddin Nasir, bekas pemain bola sepak negara, Khalid Ali dan Hanafiah Ali.
Ferzalfie Fauzi


BUKAN saja sebagai sumber menyalurkan sumbangan kewangan atau melawat atlet uzur, Yayasan Kebajikan Bekas Atlet Kebangsaan (Yakeb) kini mengorak langkah lebih jauh dalam membantu atlet untuk meraih pendapatan apabila bersara.

Menurut pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, matlamat mereka sekarang ini adalah pengubah tanggapan orang ramai bahawa badan induk itu sudah memasuki era yang lebih progresif terutama dari segi menjaga kebajikan bekas atlet kebangsaan.

"Dalam kita meraikan atlet sedia ada, kita juga perlu menjaga bekas atlet. Kita cuba ubah persepsi bahawa kerajaan sentiasa mengambil berat perjuangan atlet lama," katanya ketika ditemui Arena Metro hari ini.

Noorul Ariffin yang melawat bekas pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Shah Alias Norbit yang menderita penyakit kencing manis, menjelaskan bekas atlet kebangsaan tidak perlu berasa takut apabila bersara kelak.

"Mereka tidak perlu takut masa depan terjejas, sekarang kita (Yakeb) sudah masuk kepada era mencari pekerjaan dan memberi pelajaran serta kemahiran kepada mereka. "Sekurang-kurangnya mereka ada kerjaya lain lepas bersara. Ia juga sedikit sebanyak membuka mata ibu bapa untuk membolehkan anak mereka terbabit dalam sukan lebih serius. "Hasrat kita mahu mengubah reaksi mereka, baru sukan kita tidak mundur," katanya.

Beliau juga menerangkan Yakeb juga mempunyai projek baru kerana bukan saja menziarah bekas atlet terlantar sakit tapi bersedia untuk melakukan pengubahsuaian rumah kepada mereka yang kurang mampu di Selangor.

"Bekas atlet kebangsaan di Selangor yang mana rumah mereka ada kerosakan dan tidak mampu untuk dibaiki kita bersedia membantu mereka dalam projek 'home make over'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 7:02 PM